Search This Blog

Tuesday, January 29, 2008

DOLAH BERI SAMY THAIPUSAM

DI TENGAH haba tunjuk perasaan Hindraf 25 November 07 masih terasa dan di tengah Datuk Seri Samy Vellu disorak oleh masyarakat Tamil kerana mereke kecewa dengannya, maka Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi setuju dengan tuntutan masyarakat Hindu menjadikan Hari Thaipusam sebagai hari cuti umum di ibu kota Kuala Lumpur dan Putra Jaya.
Selangor memang sudah lama cuti umum.
Ia satu perkembangan yang menarik dan berani dari Perdana Menteri Abdullah Badawi, kerana empat Perdana Menteri sebelum sejak 50 tahun tidak menjadikannya cuti umum, tetapi menyetujui apa yang tidak pernah dipersetujui apa yang pemimpin lain sebelumnya tidak memperkenankannya.
Mengapa Tunku Abdul Rahman Putera, Tun Razak, Tun Hussein Onn dan Dr. Mahathir tidak pernah memperkenankannya tidak diketahui. Mereka diketahui sebagai orang yang toleran. Terutama Tunku. Banyak tuntutan orang bukan Melayu diperkenannya hingga ada yang menganggapnya menjual bangsa.
Takutnyua Tunku kepada ancaman perkauman hingga beliau sanggup memerdekakan Singapura dari Malaysia.
Thaipusam telah disambut di Tanah Melayu sejak sebelum merdeka dan memang ia antara perayaan yang menarik. Penjajah British tidak menjadi cuti umum pada hari itu pada hal sambutan di kuil jalan ke Kebun Bunga, Pulau Pinang sudah menarik perhatian pelancong. Masa itu pelancongan tidak dipromosikan.
Dan apabila Tunku menjadi Perdana Menteri, seorang yang dikenali sebagai orang paling disayangi oleh semua orang bukan Melayu tidak pernah memikirkan untuk menjadikan hari cuti umum.
Adakah ia tidak dituntut oleh masyarakat Hindu? Apakah masyarakat Hindu ketika itu kurang semangat agamanya dan tidak menjadikan perkara itu satu tuntutan yang mendesak? Apakah semangat Hindu Hadhari belum pernah difikirkan seperti sekarang?
Pernah Tun Razak sebelum menjadi Perdana Menteri dirasakan oleh masyarakat bukan Melayu dan orang luar sebagai nasionalis Melayu tulen dan toleransi terhadab bukan Melayu tidak seterbuka Tunku. Itu sekadar sangka orang.
Tetapi Tun Razak membuat apa saja bagi mengelakkannya disangka tidak toleran apabila menjadi Perdana Menteri. Bagi menarik hati masyarakat bukan Melayu, Tun Razak menjalin hubungan diplomasi dengan Tanah Besar China pada ketika tiada negara ASEAN asal yang berani berbuat demikian. Takutkan China komunis pada masa itu adalah sikap semua negara non-komunis Asia Tenggara.
Tun Razak memecah kebekuan itu dengan melawan China dan sepulangnya dari Beijing, dia mengisytiharkan cuti umum sehari di seluruh negara. Demikian politik supaya dikatakan toleran oleh Tun Razak. Tetapi dia tidak mengambil apa-apa tindakan untuk menjadikan cuti umum bagi Thaipusam.
Punya nak menjaga hati orang bukan Melayu Dr. Mahathir hampir menjadikan semua sekolah kebangsaan sebagai sekolah Inggeris. Dikatakannya tidak mahir bahasa Inggeris menjadikan rakyat mundur, suatu pandangan yang tidak disetujui oleh para pendidik dan budayawan Melayu. Kerana pandangannya disenangi oleh orang Melayu, maka diIngggeriskan pengajaran sains dan matemaik saja.
Politiknya adalah sekadar untuk memenangi hati orang bukan Melayu. Tetapi dia tidak pernah menimbangkan tuntutan MIC dan Samy Vellu yang mendesak supaya hari Thaipusam dijadikan cuti umum.
Semasa pentadbiran Dr. Mahathirlah MIC dan badan-badan NGO menuntut hak kebudayaan masyarakat India diberi layanan yang lebih baik termasuklah menjadi Thaipusam hari cuti umum. Ada tindakan diambil bagi meningkatkan kebudayaan dan kehidupan masyarakat India, tetapi tetap Thaiousam tidak dijadikan cuti umum.
Sekalipun permintaan itu tidak pernah dilayan, tetapi tiada siapa boleh mengatakan keempat-empat Perdana Menteri sebelum sebagai pemimpin yang tidak toleran atau orang yang tidak mengambil berat tentang hak-hak agama lain.
Walaupun Tunku tidak menjadikan cuti umum pada hari Thaipusam, Tunku tetap dikira sebagai orang yang paling disenangi oleh semua bukan Melayu dan orang yang membela nasib semua kaum. Tidak dikata dia caubenis kerana tidak menjadikan cuti umum pada hari Thaipusam.
Tiada sesiapa mengatakan Tun Razak, Tun Hussein dan dr. Mahathir sebabgai orang yang mementingkan nasib dan kepentingan bangsa Melayu saja walau pada zaman mereka tiada cuti umum bagi Thaipusam.
Tetapi ketegangan kaum dirasakan ketara sejak akhir-akhir ini. Kerajaan Malaysia dirasakan tidak melakukan secukupnya untuk melayan kepentingan kaum bukan Melayu termasuklah kaum India.
Ia dikira tidak toleran malah ada yang merasakan kaum India itu dianak tirikan. Bukan saja dikatakan kaum itu dibiarkan menjadi golongan miskin, dan hak keagamaan mereka diabaikan.
Justeru itu Perdana Menteri Abdullah Badawi telah diberi memorendam oleh sepuluh menteri bukan Melayu dalam kabinetnya. Tidak pernah menteri-menteri bukan Melayu tergamak mengantar memorendum kepada Perdana Menteri sebelum beliau dan malah siapa dari mereka berani mempersoal wibawa masing-masing sebagai Perdana Menteri, tetapi amat malang bagi Perdana Menteri, pernah Ong Ka Ting, Samy Vellu, Kim Yaik dan lain menghempas memeorendam ke mejanya
Sesudah memorendam itu dibacanya, mereka tarik balik memorendam itu.
Untuk menjadi Perdana Menteri yang toleran dan bagi mengekalkan harmoni kaum dan memupuk perpaduan dan persaudaraan, diistiharkan cuti umum bagi Thaipusam bermula di Wilayah Persekutuan.
Jadilah Datuk Seri Abdullah Badawi PM paling toleran, mengalahkan Tunku dan lain-lain. Adakah ia menjamin harmoni atau menambah menajam perasaan dalaman? Moga-moga ia terus menyemarak harmoni negara.

Monday, January 28, 2008

SUHARTO BERJASA BESAR PADA MALAYSA

KETIKA rencana ini ditulis bekas Presiden Suharto belum lagi meninggal dunia tetapi keadaannya dalam nazak yang amat tenat. Berita liang pusaranya di makam keluarganya sudah digali. Ketika rencana ini tersiar mungkin dia sudah berakhir.

Setiap kali berita mengenainya termasuk tantang keuzurannya, CNN dan BBC membangsakannya sebagai seorang diktator Indonesia.

Presiden Indonesia yang kedua yang menggulingkan Presiden Sukarno dan yang memerintah Indonesia selama 32 tahun sebenarnya adalah seorang yang sangat disukai oleh Amerika, tetapi setelah dia menutup ruang bagi penggiliran pada orang Kristian untuk menjadi Presiden pula, maka dia tidak menarik selera dunia barat lagi.

Sebahagian warga Indonesia tidak dapat memaafkannya hatta di saat nazaknya Indonesia yang sangat demokrasi itu berdepan dengan tunjuk perasaan kerana tidak menyegerakan tindakan mengadili dulu.

Apa pun tindakannya terhadap bangsa Indonesia selama pemerintahannya dan apa pun yang dirasakan oleh setengah rakyatnya terhadapnya adalah masalahnya dengan rakyatnya. Hak rakyat Indonesia untuk menentukannya.

Tetapi Suharto adalah seorang yang penting dan sangat berjasa kepada Malaysia.

Indonesia memberikan sokongan besar menggalak dan menyokong kemerdekaan Tanah Melayu. Kemerdekaan Tanah Melayu itu ikut ditirupkan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan Indinesia sejak ia menuntut kemerdekaannya. Tetapi hubungan diplomatik antara Indonesia dan Tanah Melayu tidak sepanas yang diharapkan.

Presiden Sukarno yang suka keluar negeri tidak pernah menjijakkan kakinya ke Tanah Melayu sejak ia merdeka. Dan Tanah Melayu bertukar menjadi musuh Indonesia apabila timbul cadangan Tunku Abdul Rahman Putera, Perdana Menteri Tanah Melayu untuk membentuk Malaysa bagi mencantumkan Sabah, Sarawak, Brunai, Singapura dan Tanah Melayu sebagai sebuah negara merdeka.

Sukarno menentang percantuman itu, dan kerana Tanah Melayu hendak meneruskan juga rancangannya, maka Indonesia melancarkan dasar konfrantasi terhadap Malaysia dan apabila Malaysia dibentuk juga pada 16 September, 1963, maka Sukarno melancarkan apa yang dipanggil ganyang Malaysia.

Konfrantasi adalah dasar pemusuhan Indonesia terhadap pembentukan Malaysia dan ganyang pula adalah dasar peperangan bagi menghancurkan Malaysia.

Walaupun ada orang di Indonesia yang tidak suka dengan dasar konfrantasi dan ganyang itu, tetapi ia sudah jadi dasar nasional Indonesia, maka tiada nampak yang terkcuali dalam memenci Malaysia. Samalah seperti adanya orang Tanah Melayu yang tidak suka dengan projek Malaysia itu tidak nampak yang terkecuali membenci Sukarno dan Indonesia ketika itu.

Sukarno adalah wira orang Melayu sejak dia menjadi Presiden Indonesia dan gambarnya tersangkut dalam semua rumah orang Tanah Melayu. Tetapi sejak berlaku konfrantasi, semua orang Melayu menurunkan gambar Sukarno dari rumah masing-masing.

Warga Indonesia di Tanah Melayu masa itu takut untuk mengaku Indonesia dan menyorokkan orang Indonesia di rumah masing-masing cukup sulit, sama sulitnya dengan orang Pakistan yang menyorokkan Taliban dan menyimpan gambar Ben Laden sekarang.

Malaysia bukan saja diancam Indonesia, Filipina di bawah Presiden Macapagal (ayah Arroyo) dan Pakistan yang menteri luar adalah Zulfiqar Ali Bhutto (ayah Benazir) tidak mengiktiraf pembentukan Malaysia, malah kebanyakan negara dunia ketiga tidak tertarik dengan Malaysia.

Sidang kemuncak Afro-Asia kedua dalam tahun 1965 yang dijadualkan di Aljeria, Malaysia bukan saja tidak dijemput malah dihalang menyertainya.Tetapi sidang itu dibatalkan di saat terakhir sedang sidang peringkat pegawai sudah pun berjalan. Ia dibatalkan kerana berlaku rampasan kuasa terhadap Presiden Ahmed Ben Bella, Presiden Aljeria pada masa itu.

Malaysia dan rakyatnya adalah diancam dan diambang perang ketika itu. Tentera Inonesia sudah pun menyusup dan didaratkan di daerah Labis dan Segamat di Johor. Yang menyurup itu semua dapat dikepung dan ditangkap.

Mereka belum datang ramai. Jeneral Suharto diberi perintah melaksanakan dasar ganyang Malaysia. Tetapi dia tidak terburu-buru mejalan perintah itu. Tentera yang menyusup di Labis terbukti tidak disambut oleh masyarakat tempatan.

Kiranya Jeneral Suharto pasukan ganyangnya, bukan saja ia menjadikan peperangan terbuka, tenteranya yang dikirim itu nescaya tidak akan pulang. Armada British yang berlabuh di Laut China Selatan yang lengkap dengan senjata nuklear akan menyerng Jakarta dan semua kawasan strategi di Indoneia.

Perang besar tidak tercetus kerana Jeneral Suharto tidak menggerakkan tenteranya.

Kemudian berlaku GESTAPU – Gerakan 30 September 1965. Gestapu menghorbankan tujuh panglima tentera. Jeneral Haris Nasution, Menteri Pertahanan Indonesia terlepas dan Jeneral Suharto tidak termasuk dalam korban. Ia satu rampas kuasa komunis.

Esoknya Jeneral Suharto mematahkan Gestapu pimpinang Kolonel Untung dan Suharto muncul sebagai orang kuat tentera yang baru. Presiden Sukarno diselamatkan dari kumpulan Gestapu atau G30S. Gerakan dipercayai dipatahkan kerana Jeneral Harris Nasution terselamat. Dia memerintahkan Suharto bertindan balas.

Presiden Sukarno tidak mengira Gestapu menderhakainya. Padanya Gestapu adalah untuk menyelamatkannya dari pakatan Majlis Jeneral yang terdiri dari panglima yang dibunuh oleh Gestapu. Nasution adalah pimpinan Majlis Jeneral itu.

Sukarno menggugurkan Nasution dari kedudukannya dan menyerahkan kuasa untuk menjaga keselamatan Presiden kepada Suharto dan ini menjadikan Suharto orang yang lebih berkuasa dari Sukarno dan sekali gus permulaan kepada hilangnya kuasa Sukarno.

Rakyat Indonesia yang terbelenggu dengan pengaruh komunis yang mengelilingi Sukarno bangun melancarkan tindakan antikomunis menbelih sekitar setengah juta orang yang dipercayai anasir komunis.

Suharto memberi laluan kepada menteri luarnya Adam Malik membuat kerja diplomatik membaiki hubungan dengan Malaysia. Dia mengirim kunjungan pimpinan tentera sehari ke Malaysia dalam usaha memadamkan haba konfrantasi.

Membicarakan menteri yang memberi laluan kepada pengaruh komunis seperti Dr. Subandrio dan Jeneral Omar Dani dan lain-lain dibincarakan.

Dalam masa Sukarno masih menjadi Presiden yang tidak berkuasa, Suharto bersetuju dengan pertemuan Adam Malik dan Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri menanda tangani perjanjian damai di Bangkok yang menamatkan sejarah konfrantasi terhadap Malaysia.

Ia diikuti oleh kunjungan mengejut sehari Tun Razak ke Jakarta dan sempat menemui Sukarno. Esoknya Adam Malik pula datang ke Kuala Lumpur bertemu buat pertama kali dengan Tunku sebelum solat Jumaat di Masjid Negara.

Adapun Sukarno yang dalam kemuncak kekuasaannya tiba-tiba berhadapan dengan tunjuk perasaan besar-besaran beberapa hari. Orang tidak bergerak dari tempat tunjuk perasaan menjadikan kota raya itu kaku. Ia adalah ditujukan kepada Sukarno yang dikira ketua order lama. Tiada cara Sukarno dalam diselamatkan, melain dengan menyerahkan kuasa kepada Suharto untuk menjadi keselamatan Presiden.

Dengan kuasa itu Sukarno hilang kuasa dan Suharto mengukuhkan kuasanya. Hingga tiba suatu ketika Sukarno dilucutkan sebagai Presiden Indonesia dan digantikan oleh Jeneral Suharto.

Di bawah Suharto Indonesia menjadi sebuah negara antikomunis sama dengan yang dimahukan oleh Tunku Abdul Rahman untuk Malaysia yang dimerdekakannya dari British.

Suharto dalam waktu yang singkat menjadikan Indonesia jiran Malaysia yang paling akrab. Setiap enam bulan Tun Razak yang kemudiannya menjadi Perdana Menteri bertemu dengan Presiden Suharto. Sekali di Malaysia dan sekali lagi di Indonesia di kota-kota yang berlainan.

Pertemu itu ke peringat awal pentadbiran Dr. Mahathir.

Suharto bukan sekadar memberi laluan kepada hubungan yang akrab dengan Malaysia tetapi memberi laluan juga kepada Indonesia menjalin hubungan seranau dengan negara-negara Asia Tengganu.

Sebelumnya Tunku membentuk pakaian ekonomi serantau Asia Tenggara yang hanyak disertai oleh Thailand, Filipina dan Tanah Melayu yang dikenali dengan ASA. Tetapi setelah konfantasi tamat dan Sinpugara terpisahlah pula dari Malaysia tahun 1965, Indonesia bersetuju menyertai pakaian serantau yang asasnya ada ASA. Ia dibesarkan menjadi ASEAN dengan menambah Indonesia dan Singapura sebagai anggota baru.

Dari ASEAN lima itulah kemudiannya menjadi ASEAN sepuluh apabila disertai oleh Brunei Darussalam, Laos, Kampuchea, Vietnam dan Myanmar.

Bagi Malaysia peranan yang dimainkan oleh Suharto itu sangat besar ertinya bagi Malaysia kerana ia dapat menjadi regu penting Malaysia dalam mengukuhkan kestabilan Asia Tenggara yang Malaysia turun mendapat manfaat.

Dia mungkin ada cacatnya pada bangsa Indonesia, tetapi sumbangan positifnya kepada Malaysia amat besar.

Apa pun dia dihormati oleh Lee Kuan Yew. Ketika usaha menamatkan konfrantasni terdapat dua perisik Indonesia ditrangkap di Singapura. Suharto minta keduanya diampunkan. Tetapi Lee tegas mengenakan hukuma mati. Ketika Lee hendak mengunjungi Jakarta, Suharto mensyarat Lee tafakur di pusara dua persik itu. Lee membatalkan kunjungan. Akhir Lee ke Jakarta juga dan terpaksa tafakur di pusara perisik yang dihukum mati di Singapura itu. Selepas Suharto hilang kuasa, bila Lee ke Jakarta, dia tepat singgah menemui Suharto.

JENAYAH SUDAH AMAT MENAKUTKAN

AKHIR-akhir ini saja tanah air dikejutkan dengan kejadian yang amat menakutkan yang mengancam dan mengganggu ketenteraman orang ramai.

Mulanya gempar kita digemparkan dengan kes pengakuan zina menteri kesihatan Chua Soi Lek. Lepas itu berlaku pula pembunuhan dalam lif ke atas Dato Krishnasamy, ADUN Tenggaroh, Johor dan anggota Majlis Tertinggi MIC.

Kemudian berlaku lagi kejadian melarikan kanak-kanak perempuan dari Jalan Kelang Lama, Selangor. Pada ketika rencana ini ditulis sudah 10 hari berlaku, tiada lagi dikesan, dan pencariannya dibuat hingga ke seluruh negara.

Ia sekadar menyebutkan sedikit dari teruknya penyakit sosial yang dihadapi oleh masyarakat Malaysia yang berada di ambang pilihan raya umum ke 12 bagi memilih kerajaan baru atau mnyambung semula kerajaan yang mampu membendung jenayah itu.

Skandal zina Soi Lek tidak diterima kanun kesiksaan sebagai jenayah berat. Ia hanya diterima sebagai satu dosa besar syariat Nabi Musa a.s., Nabi Isa Al-Masih a.s. dan Nabi Muhammad SAW. Kejahataan itu sama besarnya dengan jenayah membunuh, mencuri dan menyamun, berjudi dan berlanggan arak. Taurat, Injil dan al-Quran meletakkan di bawah jenayah hudud.

Pentadbiran sekular dan Islam Hadhari mengiranya kecurangan pribadi.

Tetapi ia mencemaskan sekalian ibu bapa, suami dan tok nenek akan kebersihkan anak-anak perempuan mereka, isteri mereka dan anak cucu mereka yang bebas keluar rumah untuk bersekolah atau bekerja kerana mereka mudah diperangkap dalam maksiat zina yang payah dihukum justeru itu bersifat suka sama suka dan kategorikan penyakit akhlak dan pribadi.

Zina itu hanya dikira jenayah apabila dibangsakan kepada rogol dan gangguan seksuil.

Ia amat mengganggu orang-orang berakhlak dalam dunia yang tidak boleh menyekat kanak-kanak dan wanita keluar rumah.

Pembunuhan Krishnasamy pula, seorang pemimin masyarakat berlaku siang hari, di tempat dan bangunan yang terdedah kepada laluan orang ramai, yang semua merasakan ia adalah tempat selamat.

Sebagai wakil rakyat Krishnasamy tidak merasa perlu diiring pengawal untuk naik ke pejabat partinya, tetapi maut menunggunya di situ, di tempat orang ramai turun naik.

Ia satu dari banyak kejadian bunuh yang berlaku kalau pun tidak setiap jam dan setiap hari, tetapi secara rambang adalah kejadian setiap minggu.

Wan Zaliha Radzi, bekas pengacara TV tidak dibunuh, tetapi tidak selamat lagi memandu sendirian tengah malam. Dia disekat tengah jalan, dipaksa masuk ke kenderaan lain, diambil apa yang ada padanya dan ditinggal di tengah jalan bersedirian tengah malam buta itu.

Keselesaan dan keselamatan bagi orang-orang baik sudah tidak terjamin.

Yang menjadi isu besar sekarang, berlaku lagi kejadian melarikan kanak-kanak perempuan termasuk yang baru bersekolah dan belum bersekolah. Ke pasar malam yang dekat dengan rumah atau ke padang permainan yang dekat dengan rumah tidak lagi tempat yang selamat.

Pasar malam dan taman permainan kanak-kanak yang dekat dengan rumah ada kemudahan orang ramai. Orang ramai itulah yang memakmurkan pasar malam dan padang permianan itu. Kalau taman permainan itu sudah tidak selamat lagi buat apa ia diadakan?

Bagi ibu bapa sekarang tempat seperti itu tidak lagi menjadi kemudahan yang menyeronokkan. Anak mudah dilarang pergi ke padang yang jauh. Tetapi bukan mudah menyekat anak di rumah sedang padang permainan hanya serantai atau dua rantai dari rumah.

Ibu bapa yang banyak kerja bukan ada masa sangat untuk membawa anak bermain di situ. Budak-budak boleh membuka pintu sendiri. Mereka keluar sendiri. Kalau tidak ke situ, kadang-kadang kanak-kanak kena keluar rumah untuk mengaji petang di tempat berdekatan. Sekarang tiada jaminan. Hendak ke situ pun terpaksa dihantar dan kemudian kena ambil balik.

Kaak-kanak yang dilarikan itu payah ditemui selamat. Hanya Yin, budak dari Perak yang hilang di Sogo Kuala Lumpur dihantar balik dengan selamat.

Bukan di tanah air kita saja anak gadis sunti hilang. Beberapa bulan itu kanak-kanak Inggeris yang bercuti ke Sepanyol bersama ibu bapanya hilang. Mereka bertemu Pope di Rom minta dia merayu supaya dipulangkan kanak-kanak itu. Akhirnya mereka balik ke England tanpa seorang anak.

Banyak lagi jenayah berbagai-bagai bidang berleluasa di tanah air yang sudah 50 tahun merdeka ini. Bermacam-macam yang sudah dibuat. Anggota polis ditambah. Rukun Tetangg ditubuh di setiap lokaliti. Anjing polis pun ditambah dan macam-macam lagi.

Kita awasi penganggur dan pendatang yang banyak. Tetapi yang tertuduh dalam kes pembunuhan wanta Mongolia, Altantuya ialah orang yang rapat dengan Timbalan Perdana Menteri dan dua orang anggota polis.

Malaysialah yang mula mengenakan hukum mati kepada pengedar dadah. Tetapi sudah ramai orang Malaysia yang ditangkap di luar negeri kerana membawa dadah. Hukum membawa dadah di Malaysia cukup keras. Mati mandatori. Tetapi mangsa dadah bertambah mengikut saat dan minit.

Berbuih-buih mulut Perdana Menteri hendak memerangi rasuah. Kata Soi Leh yang meletak jawatan dari menteri, dia tahu banyaknya pengamal rasuah di negara ini. Sekadar mulut berbuih tidak akan membasmi rasuah, tetapi bertindak dengan tidak teragak-agak akan ada kesannya.

Apa lagi yang hendak dibuat? Siapa hendak disalahkan? Lazimnya orang menyalahkan kerajaan. Tetapi pihak yang menyalahkan kerajaan itu disalahkan pula oleh orang lain. Apa yang mereka buat selain dari menyalahkan kerajaan saja?

Apa yang mereka boleh buat? Mereka boleh menahan diri dari mencuri dan merompak. Tetapi orang lain mencuri dan merompak juga. Mereka boleh tangkap penyeludup. Tetapi mereka tidak boleh hukum penyeludup. Kena serah pada polis. Kena macam polis dalam filem Hindustan, tiada polis yang boleh dipercayai.

Tetapi kerajaanlah yang bertanggungjawab atas kepincangan sosial itu. Ketika Rasulullah SAW lahir, Arab dalam jahiliyah. Jenayahnya lebih teruk dibandingkan dengan Malaysia sekarang. Mereka bunuh hidup-hidup setiap bayi perempuan.

Baginda bawa ajaran Allah yang dipancarkan dari al-Quran yang lengkap dengan undang-undang jenayahnya termasuk hudud. Baginda bentuk masyarakat beriman. Akhirnya baginda bentuk pemerintahan Islam di tengah masyarakat majmuk di Madinah – Islam, Yahudi dan jahiliyah. Baginda Islamkan Mekah dan seluruh tanah Arab melaksanakan syariyah.

Bukan sekadar jenayah dan jahiliyah hapus, bangsa Arab yang bengis itu jadi umat yang bertamadun.

Semua Arab sebelumnya adalah jahiliyah dan penjenayah. Bukan semuanya dikenakan hukum. Beberapa orang saja yang disabit dan dihukum. Tetapi ruh pelaksanaan syariah itu menanamkan kegerunan di hati setiap orang terhadap jenayah. Gerun itu yang menghentikan mereka melakukan jenayah.

Rom dan Parsi mengenakan berbagai-bagai-bagai pencegahan jenayah, tetapi jenayah berlesuasa. Penanayah takut semasa ada polis. Tetapi kesalayan yang tidak diketahui polis terlepas dari hukum.

Pelaksanaan jenayah syariyah membawa barakah, Allah tanamkan rasa takut semua orang terhadap jenayah. Mereka pun tidak suka dan benci kepada kejahatan sama ada polis ada atau tidak ada.

Tetapi tanpa peraturan syariyah, polis pun kadang-kadang menjadi penjenayah dan bersubahat dengan penjenayah. Hikmat syariat ini terkandung dalam al-Quran dan pesan sunah Rasulullah SAW.Apabila kerajaan Malaysia dinasihatkan supaya menerima pakai undang-undng itu, ia menolak kerana akan huruhara konon. Apabila ingantan itu diketepikan Malaysia menerima kesan teruk. Jenayah bermaharaja lela. Islam Hadhari dan kehidupan sekular tidak mampu menyekat jenayah.

Tuesday, January 22, 2008

KERAJAAN TIDAK BOLEH DISALAHKAN?

SAYA adalah penonton regular FORUM PERDANA malam Jumaat TV1. Yang terbaru ketika berforum di Kangar, saya tidak setuju dengan Prof. Yusuf Hussein, bekas Mufti Wilayah Persekutuan yang tidak mahu orang menyalahkan kerajaan.
Saya beriman dengan ajaran kerajaan yang diistilahkan sebagai ulil amri hendaklah dipatuhi.
Tetapi kepatuhan kepada ulil amri itu tidak mutlak. Kepatuhan yang mutlak ialah kepada Allah dan RasulNya. Kepatuhan kepada ulil amri sepanjang ia patuh kepada Allah dan RasulNya.
Saya bukan menganjurkan kerajaan yang tidak patuh kepada Allah dan Rasul hendaklah diperangi. Tetapi saya hendak mengatakan kerajaan boleh ditegur dan boleh disalahkan jika diyakini dasar dan tindakannya tidak betul.
Sayidina Abu Bakar Siddiq ketika menerima perlantikan sebagai khalifah menuntut kepatuhan umat selagi dirinya berada pada jalan Allah dan Rasul. Tetapi jika beliau tidak mengikut jalan itu, maka beliau minta dibetulkan.
Khalifah Umar al-Khatab membuat permintaan yang dari umat ketika menerima perlantikannya. Lalu bangun seorang pemuda menghunus pedang sambil mengingatkan Amir Mukminin, pedangnya akan singgah ke lehernya jika beliau menyeleweng. Sayidina Umar bersyukur kerana ada umat Islam yang sedia menegurnya.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud, setiap orang adalah penggembala atau pemimpin. Dia akan ditanya tentang penggembalaannya atau pimpinannya.
Allah akan bertanya pemimpin apa yang dibuatnya tentang pimpinannya. Bukan Allah saja yang akan bertanya kepadanya, tetapi setiap orang yang terasa dirinya dizalimi dan tidak mendapat layanan adil dari pemimpinnya berhak bertanya.
Rasulullah SAW adalah pimpinan contoh. Tiada yang bersalahan dalam pimpinannya, tetapi bermacam-macam kerenah Beduwi ditujukan kepadanya. Semua yang dihadapinya itu dilayan mengikut kesesuaian.
Sepanjang sejarah manusia, para nabi minta umatnya taat kepada Allah dan setia arahannya. Tetapi tidak pula nabi-nabi itu melarang umatnya bertanya dan memberikan pandangan. Apabila ada yang tidak patut dan pandangan kaum musyrikin yang tidak betul, maka nabi-nabi itu pergi kepada mereka membuat penjelasan.
Yang tidak mahu ditegur dan melarang rakyat membuat komen tentang perjalanan raja dan pemerintahan ialah Namrud, Firaun, dan orang-orang yang zalim sepertinya.
Forum Perdana RTM di Perlis itu adalah tentang angkara lidah dan bahaya fitnah. Mungkin forum tajaan kerajaan Shahidan Kassim itu gerangan adanya gara-gara lidah tak bertulang Dato Radzi Sheikh Ahmad, Setiausaha Agung UMNO mahu Menteri Besar Perlis ditukar.
Profesor dan bekas Mufti Wilayah itu telah membuat huraian tentang tidak baiknya fitnah dan betapa wajarnya menjaga lidah. Tetapi kesimpunannya dia suka sangat orang menyalahkan kerajaan yang ada hari ini. Baginya semua orang mesti menayalah diri sendiri tentang apa yang berlaku. Maksudnya tentang kepincanngan dan kelamahan yang dihadapi oleh masyarakat dan negara.
Secara umum dia menolak peranan pembangkang dan peranan kritikan dalam media massa, menolak kebebasan bersuara dan menyatakan pandangan. Semua ini dijamin dalam Islam dan demokrasi.
Dalam dunia memang ada yang membangkang melulu, menentang kerajaan melulu, mengecam orang itu dan orang ini dengan melulu. Tetapi semua kelemahan itu tidak menjadi hujah untuk menafikan keperluan bangkangan, kritisma, kebebasan menyatakan pandangan, membantah dan menegur.
Tidak ada yang manusia dapat harapkan raja bermata di hati dan pemerintah yang zalim dan diktator. Tetapi orang bergelar profesor dan bertaraf mufti bukan dari jenis seperti itu.
Profesor yang menyokong kerajaan boleh memberikan membela kerajaan dan programnya yang dikatakan baik dengan hujah akadamik yang kuat. Memang dari dulu ada kerajaan yang baik dan adil. Maka kerja profesorlah untuk membetulkan apa yang dirasakan salah oleh setengah orang.
Tetapi profesor kerana bersetuju akan ada pula profesor yang lain mengujah yang dikataannya betul itu. Macam mana pun profesor yang ssetuju dengan kerajaan itu tidaklah wajar melarang teguran kepada kerajaan. Bukan begitu cara profesor.
Profesor mesti mengelak menjadi seorang ahli propaganda. Bukanlah sifat profesor menjadi propagandis.
Demikian juga mufti. Mufti mesti berkata betul. Islam tidak melarang menegur dan menyatakan zalim kepada yang zalim. Dalam Islam dalam keadaan sudah seratus peratus betul, masih diperlukan teguran. Imam-imam muktabar tidak menggalakkan ulama bekerja dengan kerajaan.
Justeru itu ada ulama ssedia dipenjara dari menerima tawaran bekerja dengan raja atau khalifah. Akan sukar bagi ulama untuk menyatakan yang benar itu benar.
Yang menaikkan harga minyak ialah kerajaan. Yang menaikkan harga ia peniaga dan disetujui oleh kerajaan. Yang mengadakan tol dan menaikkan tol adalah kerajaan. Yang memberi lesen kepada TV boleh menyiarkan itu dan ini adalah kerajaan.
Bagaimana rakyat boleh menyalahkan dirinya atas kepincangan itu? Maka apakah kejadian itu dibiarkan saja? Apakah tidak boleh kerajaan disalahkan dalam perkara seperti itu sebagai contoh?
Luncai yang dikatakan lucu itu pun tetap mengatakan kepala raja yang botak itu botak. Masakan profesor dan mufti tidak setuju botak kepala raja itu botak.
Esoknya TV Aljazeera menyiarkan perbicangan isu Suharto. Dr. Emil Salim, bekas menteri Suharto mempertahankan kebaikan pentadbiran Suharta tetapi tidak menyatakan kelemahannya. Emil Salim menyalah orang-orang yang tahu menyalahkan Suharto saja.
Seorang penel bangga dengan yang baik da ri Suharto tetapi baginya yang buruk itu banyak. Dia bertanya Pak Emil apakah tidak patut Suharto diadili atas keburukannya. Emil tidak berani mengatakan Suharto tidak boleh diadili.
Adililah bagi menentukan yang baik itu baik dan yang buruk itu buruk walaupun Emil tidak mahu menyebut kebrukan Suharto.

Friday, January 18, 2008

BILA PERLEMBAGAAN JADI DOKUMEN HAMPAS

DR. MAHATHIR Mohamad dalam Cepter Satu bukunya Malay Dilemma memafhumkan bahawa perelmbagaan negara dilihat seperti satu dokumen hampas yang tidak berharga apabila anggota-anggota Parlimen mengikut selera masing-masing membentangkan pindaan perlembagaan sebelah pagi dan meluluskannya sebelum sempat petang.
Buku itu diharamkan oleh kerajaan ketika Tun Dr. Ismail menjadi menteri dalam negerinya. Komen itu dibuat oleh Dr. Mahathir terhadap keghairahan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putera yang acap meminda perlembagaan.
Dengan Parlimen yang dikuasai parti pemerintah – majoriti lebih dua per tiga – maka keutuhan Parlimen dan perlembagaan tidak begitu dipertahankan. Apabila terasa kerajaan hendak melakukan sesuatu tetapi ia terhalang oleh peruntukan perlembagaan, maka dengan mudah perlembagaan pun dipinta.
Usul pindaan itu dikemukakan sebelah pagi dan belum sempat petang, ia pun diluluskan. Kadang-kadang dalam masa sejam saja ia diluluskan.
Acapnya pindaan dibuat, pada pandangan Dr. Mahathir ketika itu, ia telah menjadikan perlembagaan negara seolah-olah seperti satu dokumen hampas yang tidak berharga.
Adakah di bawah pemerintahan Dr. Mahathir selama 20 tahun lebih itu hal yang sama tidak berulang, adalah suatu yang lain, tetapi ulasan Dr. Mahathir tentang keghairahan golongan pemerintah meminda perlembagaan dengan sesuka hati adalah suatu yang betul yang patut diperhatikan seserius mungkin oleh sesiapa juga yang memerintah.
Betapa perlembagaan yang amat keramat itu dilayan seperti dokomen hampas atau seperti kain buruk yang tidak bernilai berlaku lagi dalam bulan Disember lalu apabila kerajaan meminda akta pilihan raya tanpa alasan yang mendesak ia perlu dipinda.
Tidak bijaknya pindaan itu dibuat menimbulkan bantahan setengah golongan yang prihatin lalu mereka datang ke Parlimen pada hari ia dibentangkan. Orang-orang yang datang itu antaranya tetamu anggota Parlimen ditahan polis semasa berada di kawasan bangunan itu walaupun wibawa Parlimen itu tidak mewajarkan sesiapa ditahan polis.
Jika mereka hendak ditahan, maka tunggulah bila mereka keluar dari bangunan Parlimen.
Bukan perlembagaan tidak boleh dipinda. Ia bukan hukum Allah. Ia hukum yang dibuat oleh manusia. Maka ia boleh dipinda. Kelebihan dan keistimewaan manusia sebagai pentadbir di bumi, ia boleh dan berupaya membuat pindaan dan perubahan atas apa yang difikirkannya patut dipinda.
Tetapi pindaan itu dibuat mengikut pertimbangan yang wajar.
Pindaan atas akta pilihan raya Disember lalu ialah meningkat had usia bersara bagi Pengerusi dan lembaga SPR dari 65 tahun kepada 66 tahun. Itu saja.
Apa pentingnya tambahan setahun itu dibuat sedang sejak 50 tahun berkuat kuasa akta atau perlembagaan itu, tidak memerlukan peruntukan itu dipinda? Dan apa yang mendesak peruntukan itu dipinda? Apakah sistem pilihan raya itu akan kucar kacir jika ia dibiarkan tidak dipinda? Tiada satu hujah yang kuat untuk mewajarkan pindaan itu.
Sistem pilihan raya itu pada keseluruhan wajar dirombak. Ia memerlu suatu peraturan yang dapat mewujudkan keadilan, bersih dan telus. Usia pengerusi setahun lebih muda atau setahun lebih tua tidak melengkapkan sistem itu dan ia juga tidak mencederakannya. Ada tak apa. Tak ada pun tak apa.
Bantahan yang dibuat atas pindaan itu ialah tidak mahu Parlimen membuat kerja remeh, meminda perlembagaan atau akta atas kepentingan satu atau beberapa kerat yang tidak menjejaskan kepentingan umum dan awam.
Apa pincangnya sistem dan perjalanan pilihan raya kalau had umur itu tidak dipinda? Apa lebihnya bila ia dipinda? Tiada suatu yang mewajarkan Parlimen sebagai satu institusi yang penting dan mulia itu bersidang untuk meluluskan benda yang remeh itu.
Setakat ini pindaan itu dipercayai dibuat untuk membolehkan Pengerusi SPR yang ada yang sepatutnya menamatkan khidmatnya hujung tahun sudah dibenarkan berkhidmat setahun lagi bagi membolehkan dia mengendalikan pilihan raya umum yang sudah terlalu dekat itu.
Jika itu tujuannya, maka apa rasionalnya akta yang menjadi sebahagian dari peruntukan perlembagaan dipinda? Apakah dengan ketiadaannya pilihan raya itu tidak boleh diadakan? Apakah kalau dia tidak ada, maka tiada orang lain boleh mengisi tempatnya?
Bagaimana kalau dia mati menjelang pilihan raya nanti, maka pilihan raya ditangguhkan kepada satu waktu lain seperti Pakistan menangguhkan pilihan raya pada 8 Januari kerana pembunuhan Benazir Bhutto?
Jika pengerusi itu maka tiada orang lain boleh menggantikannya? Ke mana perginya anggota lembaga yang lain? Adakah mereka itu tiada kelayakan untuk menjalankan tanggungjawab itu?
Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai pegawai tadbir yang cekap dan terlatih. Apakah tidak ada orang yang boleh menjalankan kerjanya dari puluhan ribu pegawai tadbir yang ada?
Dengan menjadikan pengerusinya yang ada terlalu penting dan kepadanya bergantung kelancaran perjalanan pilihan raya, maka ia meletakkan pegawai-pegawai lain belum ada kelayakan dan wibawa atau belum boleh dipercayai.
Malaysia tidak bergantung pada seorang dua untuk menjadi Perdana Menteri. Ia punyai ramai orang yang layak jadi Perdana Menteri. Kalau Perdana Menteri yang ada mati atau berhenti atau diberhentikan, maka ia tidak meletakkan Malaysia ketiadaan orang untuk menjadi Perdana Menteri. Ramai yang menunggu untuk diberi kepercayaan.
Malah takhta Yang Di Pertuan Agong juga tidak dibiarkan kosong apa ia dikosongkan oleh Seri Paduka yang ada. Ada lapan orang Sultan dan Raja sedia menunggu bagi mengisi kekosongan. Sekaliannya layak dan berdaulat belaka.
Sepuluh tahun dulu orang merasakan tiada calon lain bagi menggantikan Dr. Mahaathir sebagai Perdana Menteri selain dari Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tetapi apabila dia diketepikan, semua menunggu untuk menggantikannya.
Malaysia belum jadi macam Lubnan tidak dapat mencari seorang Presiden sejak lebih setahun lalu bagi mengisi kekosngan yang ada.
Ketua Hakim Negara adalah jawasan kalau pun tidak lebih penting dari Pengerusi SPR, adalah sama penting dengannya. Mencari seorang ketua hakim yang berwibawa tidak semudah mencari seorang pengerusi SPR. Itu pun peraturan menentukan seorang Ketua Hakim Negara yang temat perkhidmatannya pada usia 65 tahun hanya boleh disambung jawatannya sekadar enam bulan lagi. Lepas itu dia misti diisi oleh orang lain. Rasionalnya tidak berbangkit ketiadaan orang yang layak mengisinya.
Ketua Hakim yang penting itu diberi enam bulan saja kalau disetujui oleh istana untuk melanjutkan perkhidmatan. Tetapi pengerusi dan lembaga SPR diberi setahun lagi tanpa merojokkan kepada persetujuan istana.
Tiada sebarang hujah sokongan yang kuat bagi Parlimen meminda akta pilihan raya bagi membolehkan pengerusinya bersara wajib pada usia 66 tahun. Tetapi kerajaan telah menggunakan kuasa yang ada padanya tanpa hujah yang kuat untuk bersidang bagi perkara yang remeh, yang tidak langsung ada kaitan dengan kepentingan umum, terdesak dan sebab tertentu.
Perlembagaan atau akta telah membuat peruntukan tertentu atas bermacam-macam-macam perkara dan semua perkara. Peruntukan itu adalah satu peraturan dan panduan untuk diikuti. Ia adalah panduan penyelesaian kepada setiap perkara yang berbangkit.
Boleh atau tidak boleh sesuatu dilakukan, dirujuk kepada dokumen panduan terpenting itu. Bagi menjadikan dokumen dan akta itu satu peraturan yang berwibawa dan dijunjung tinggi, maka peruntuknya perlulah dihormati dan dipertahankan.
Memang diberi kelonggaran kepada pindaan, tetapi pindaan itu adalah atas perkara yang dirasakan sangat besar dan tidak d apat tiada ia mesti dilakukan. Ia mestilah atas keperluan yang lebih besar yang menetapi kehendak keadilan dan kebenaran.
Yang patut dipinda tetapi tidak dipinda ialah akta polis yang tidak membenarkan perkumpulan lebih dari lima orang tanpa kebenaran polis. Peraturan yang menghendaki permit polis bagi satu perhimpunan lebih dari lima orang sepatutnya sudah lama dibatalkan.
Ia suatu yang benarkan oleh perlembagaan tetapi ia hanya ada dalam akta polis. Mana-mana akta yang bercanggahkan perlembagaan sepatut terbatal dengan ssendirinya. Tetapi perkara yang berlawanan dengan semangat perlembagaan yang begituj penting kepada orang ramai dan orang awam yang sepatutnya dipinda bagi dibatalkan, tidak dibuat.
Perkara yang sepenting ini yang sepatutnya dipanggil Parlimen bersidang kerana ia melibatkan kepentingan umum yang lebih besar. Berbalai Parliman bersidang untuk menentukannya. Barulah pada masa itu sidang Parlimen itu dirasa penting dan tepat dengan kedudukannya sebagai satu institusi penting negara.
Tetapi apabila kerajaan dan Parlimen bertindak untuk menunjukkan ia berkuasa dan boleh buat apa saja, maka pada masa itu Parlimen dikira sebagai satu aparat mustakbirin atau satu yang mempamerkan kesombongan dan takbur.
Ketika itu keputusannya dilihat seperti perca kain buruk yang tidak berharga. Ia menjadikan perlembagaan dan akta satu domumen hampas yang amat malang.

BA TAWAR TURUN RUNCIT PETROL

PILIHAN raya umum boleh berlaku bila-bila masa. Mungkin ketika rencana ini disiar Parlimen sudah dibubarkan.
Persoalan bagi rakyat, jika BN menang juga maka harga runcit petrol akan naik kerana herga minyak di pasaran dunia naik – mencecah USD 100 setong. Harga runcit itu belum dinaikkan hujung tahun dan sehingga awal tahun ini kerana menunggu pilihan raya. Jika menang lagi BN, selepas mengumum kabinet baru, maka naiklah harga runcit petrol.
Tetapi BA, gabungan PAS, PKR dan lain-lain menawarkan harga runcit itu akan diturunkan kiranya ia yang menang.
Dato Husam Musa, Naib Presiden PAS dan Tan Sri Khalid Ibrahim, Setiausaha Agung PKR, kedua-duanya lulusan ekonomi Universiti Malaya menyangkal borak Datuk Seri Najib kononnya negara akan muflis jika harga runcit yang sudah tinggi itu diturunkan.
Najib tidak memberikan hujah yang kuat bagaimana negara pengeluar minyak boleh muflis sedang harga minyak dunia naik melangit.
Kedua-duanya ekonomis BA itu memberi hujah logik dan akadamik bahawa kenaikan minyak dunia adalah durian runtuh kepada negara pengeluar minyak. Keuntungan dari kenaikan minyak dunia mampu menampung kekurangan pendapatan negara akibat penurunan harga runcit dalam negeri.
Ia bukan sekadar teori tetapi telah dilaksanakan di Arab Saudi. Ia tidak menggila-gila menaikkan harga runcit ketika harga pasaran dunia melambung-lambung.
Bila harga runcit diturunkan tiada pula Saudi bangkraf. Elok saja negara itu. Dan begitulah keadaan negara-negara pengekspot minyak yang pro-rakyat.
Indonesia bangsat dan syarikat minyak negaranya Pertamina jatuh tersepuk bukan kerana ia tidak mengaut untung dari kenaikan eksport minyaknya, tetapi ia difaraid oleh orang-orang yang berkuasa. Tuduhan terhadap Suharto di mahkamah adalah bukti keuntungan minyak itu difaraid.
Najib dan pemimpin-pemimpin BN serta penyokong-penyokongnya sepatutnya bertanya Husam dan Tan Sri Khalid bagaimana boleh minyak itu diturunkan dengan tidak menjejaskan ekonomi dan kewangan negara. Najib tanya pakar-pakar ekonomi Bank Negara dan lain-lain, bolehkah tawaran BA itu dipakai?
Husam dan Khalid Ibrahim bila-bila masa boleh berhujah dengan mereka betapa keuntungan ekport minyak Petronas itu boleh menampung kesan penurun runcit dalam negeri.
Bila harga minyak turun, maka kuranglah beban tambang menambang. Mudahlah dikawal harga barang keluaran tempatan dalam pasaran tempatan. Pendapatan pengguna yang selesa akibat runcit minyak yang murah dapatlah digunakan untuk menampung kenaikan barang-barang inport seperti gandum, susu, daging dan lain-lain.
Kata Khalid yang menyebabkan negara bangkraf bukan fasal turun harga runcit ketika minyak naik dalam pasaran dunia, tetapi kegagalan kerajaan BN mengurus dengan baik.
Kata Husam, yang menyebabkan muflis itu kerana amalan tender tertutup, menggemukkan kroni dan pilih keluarga serta membiarkan rasuah.
Contohnya, komisyen lebih RM 500 juta dari pembelian dua kapalselam Perancis dan kapalterbang pejuang Sukhoi Rusia datang dari duit mana dan kepada siapa duit itu diberi.
Syarikat Perancis dan Rusia rela memberi komisyen yang tinggi kerana mereka sudah mendapat untung dari pembelian alat pertahanan itu. Komisyan itu bukan duit mereka. RM 500 juta adalah baki keuntungan senjata itu. Komisyen itu adalah sebahagian dari bayaran oleh kerajaan Malaysia.
Harga ssenjata itu boleh dikurangkan sebanyak RM 500 juta dan kerajaan Malaysia dapat menyelamatkan duit sebanyak RM 500 juta kalau tiada komisyen. Harga tanpa komisyen itu sudah memberi untung yang banyak. Mungkin boleh ditawar lagi.
Komisyen itu tidak dipulangkan balik kepada kerajaan. Ia dibahagi-bahagikan sesama agen.
Urus niaga macam itu berlaku dalam semua benda dan perkara. Tiada yang percuma.
Dipercayai orang yang mendapat tender membekalkan makan kepada pelatih LPKN yang berpuluh ribu jumlahnya setahun. Mereka tidak dapat tender itu percuma. Satu hari pelatih itu makan tiga kali. Ambil seringgit saja untuk sekali makan. Penyangak dapat tiga ringgit sehari atas seorang. Latihan itu katakan tiga bulan. Banyak mana pengangak dapat dari jumlah pelatih yang puluhan ribu itu?
Ini bukan satu tuduhan. Dalam sebuah negara dan masyarakat yang rasuah, tidak mustahil hal ini berlaku. Pelik kalau ia tidak berlaku.
Benda-benda macam inilah yang menyebabkan negara boleh muflis. Sekadar menurunkan harga runcit minyak dalam suasana harga minyak melambung dalam pasaran dunia, tidak memungkin negara muflis. Hanya orang tidak tahu mentadbir saja yang memungkin ia berlaku.
Di hadapan rakyat sekarang ada pilihan. Ada parti yang menawarkan harga runcit minyak boleh diturunkan. Satu parti lagi menjanjikan harga runcit tidak boleh diturunkan, bahkan boleh dinaikkan bila-bila masa selagi minyak melambung.
Minyak itu adalah rahmat d ari Allah. Menaikkan harga minyai di pasaran dunia itu adalah bala dan dera kepada manusia. Saudi diberi rahmat kerana minyaknya dijual tinggi di pasaran dunia. Rakyatnya dapat rahmat juga kerana mereka dapat harga runcit yang murah. Saudi tidak muflis, bahkan stabil dengan keuntungan minyak walaupun ia tidak dapat banyak dari harga runcit yang murah.
Malaysia diberi rahmat kerana minyaknya dijual tinggi dalam pasaran dunia. Berlipat ganda untungnya. Tetapi kerajaan BN tidak menurunkan harga runcit, sebaliknya menaikkan harga runcit. Rahmat tidak dirasa oleh rakyatnya, sebaliknya ia terus membebankan.
BA datang menawarkan rahmat kepada rakyat seperti yang diberikan oleh kerajaan Saudi. Ada pilihan untuk rakyat, mahukan rahmat Allah atau tidak yakin dengan tawaran rahmat itu.
Satu tawaran mahu meringankan beban rakyat dengan izin Allah. Ia dibuat oleh BA. Jika tawaran itu diperkenan Allah, dengan izin Allah dapat dilaksanakan dan negara tidak muflis, maka rakyat dapat rahmat atas janjinya. Kalau Allah tidak mengizinkan, maka rakyat tidak dapat apa yang ditawarkan. Ia membeli minyak yang mahal seperti sekarang.
Manakala BN tidak bercadang untuk meringankan beban rakyat.Tidak ada janji minyak akan diturunkan, tiada janji minyak tidak akan dinaikkan. Tiada janji beban rakyat dapat dikurang. Berjaya atau tidak berjaya, beban berterusan.
BA ada tawaran. Jika ia berjaya, beban dapat dikurangkan. Jika tidak berjaya, beban dipikul berterusan. Tetapi ia ada tawaran untuk menolong rakyat mengurangkan beban. BN tidak bercadang untuk meringankan beban, tetapi yang pasti kalau minyak dunia terus naik, maka beban tidak akan terhenti.
Rakyat yang bersyukur sentiasa mengharapkan rahmat. Apabila datang tawaran rakyat, maka mereka sedia menyambutnya. Memilih yang mengurangkan beban adalah lebih baik dari mengekalkan diri dengan beban. Orang beriman tidak memilih beban tetapi memilih tawaran yang baik.
Sebaliknya orang yang sombong dan takbur tidak suka kepada tawaran yang boleh meringankan tanggungan. Orang-orang yang sombong ini tidak berhajat kepada rahmat dan megah dengan kesombongannya. Mereka tidak mahu mengungankan beban, tetapi memilih menambah beban. Beban yang ada sudah tidak terpikul, mereka sedia supaya beban yang tidak terpikul itu ditambah. Orang yang suka kepada beban, bukan tanda orang bersykur, tetapi ia adalah tanda kebebalan. Tetapi orang yang bersyukur memilih jalan yang dapat mengurangkan beban. Orang bebal melihat rahmat sebagai keburukan, dan tidak nampak keburukan adalah keburukan. Keburukan baginya indah. Tetapi orang yang bersyukur sentiasa mengharapkan rahmat yang berterusan, dan tetap nampak keburukan adalah keburukan.