Search This Blog

Friday, June 10, 2011

Malaysia Ke Arah Pemikiran Islam

Bab 1 - Bahagian 2

Ada dua sebab mengapa satu rupa bangsa tidak dapat diisytiharkan pada pagi kemerdekaan diproklamirkan itu. Pertama situasi perkauman itu agak menebal, dan kedua tidak beraninya pemimpin-pemimpin ketika itu untuk bertindak tegas dalam soal yang penting itu.

Dalam hal ini keberanian pemimpin bertindak tegas meletakkan asas penyatuan bangsa itu, cukup dengan persediaan dan tindakan yang tepat dan cekap boleh mengatasi situasi perkauman yang ada sekalipun ia agak tebal.

Oleh kerana perkauman dan takut kepada perkauman itu sendiri lebih menguasai suasana, maka perkauman politik dan politik perkauman terus menguasai Malaysia dari sejak lahirnya hinggalah ke zaman Dasar Ekonomi Baru.

Telah ditakdirkan Allah bahawa kemerdekaan Malaya tidak boleh diperjuangkan oleh bangsa asal yang darinya kemerdekaan itu dirampas oleh penjajah sejak Peringgi Masuk Melaka kurun ke 15. Tidak ada salahnya kemerdekaan itu diperjuangkan oleh sekumpulan orang yang mewakili seluruh penduduk satu daerah kawasan yang terjajah. Tetapi British menghendaki kemerdekaan itu diperjuangkan oleh seluruh kaum di Malaya supaya tidak ada kumpulan yang lebih merasa berhak dari yang lain.

Saikologi British itu telah diterima, dan asas kemerdekaan Malaya tadi telah diperjuangkan melalui kehendak saikologi British itu sendiri. Dengan tercapainya kemerdekaan, kerana kemerdekaan itu diperjuangkan bersama oleh orang Melayu, Cina, dan India, maka satu rupa bangsa tidak dapat diisytiharkan ketika kemerdekaan itu dimasyhurkan hatta bangsa-bangsa itu sendiri nantinya bersetuju mencari satu formula mengenai pembentukan satu rupa bangsa itu tadi.

Dari segi logiknya bangsa yang menjadi penduduk Malaysia ialah bangsa Malaysia. Tetapi dari segi hakikatnya ia tidak dapat dilaksanakan begitu. Terpaksa dalam kad pengenalan rakyat jelata, di ruang rupabangsa tidak dicatitkan nama bangsa itu tetapi ia dicatitkan sebagai 'warganegara'.

Pernah dipertikaikan oleh Allahyarham Datuk Onn Jaafar di parlimen tentang rupa bangsa itu. Adakah ia cicak, mengkarung atau sebagainya? Dan hujah yang paling popular itu terus menjadi ingatan sejarah. Persoalan itu sesungguhnya satu kemelut bagi bangsa Malaysia itu sendiri.

Bagaimanapun usaha berjalan terus bagaimana masyarakat berbilang kepercayaan dan warna kulit itu boleh disatukan. Semangat kemerdekaan yang sama-sama dicapai tadi membolehkan tiga rumpun bangsa yang menjadi kaum itu bersetuju bahawa masalah yang dihadapi adalah besar dan setiap pihak merasakan masing-masing mesti berkorban.

Latar belakang yang ada pada kaum itu ialah Melayu yang menjadi kumpulanterbesar mungkinpunya sejarah tamadun kebudayaan yang gemilang sebelum kedatangan Islam, tetapi sesudah kedatangan Islam, maka kebudayaan dan cara hidupnya adalah baru. Mereka terpaksa meninggalkan segala corak kebudayaan jahiliyah yang diwarisi dari kebudayaan Hindu Sriwijaya dan Majapahit. Mereka menyesuaikan kehidupan mereka dengan kehidupan Islam. Dan mereka merasa kekuatannya terletak kepada keperibadian bumiputera.

Cina pula mempunyai tamadun yang gemilang di belakang mereka sejak beribu-ribu tahun. Dan demikian juga orang-orang India yang juga bangga dengan sejarah tamadun yang panjang diantara tamadun yang teragung di Asia.

Latar belakang yang dimiliki oleh setiap kaum terbesar itu menyulitkan wujudnya satu rupabangsa yang kukuh setahun dua selepas merdeka. Tetapi semangat kemerdekaan tadi berjaya membawa masing-masing pihak menerima perlunya diwujudkan satu identiti kiranya mereka menjadi Malaysia sebuah negara yang berjaya dan berbangga dengan keupayaannya mengatasi masalah sekalipun masalah itu terlalu berat dipandang dan berat juga dipikul.

Thursday, June 9, 2011

Malaysia Ke Arah Pemikiran Islam

Bab 1 - Bahagian 1

Apabila program 3M - membaca, menulis dan mengira - satu pendekatan baru dalam dasar pelajaran kebangsaan dilancarkan buat pertama kalinya awal tahun 1982 ini, terdapat tentangan serentak dari masyarakat bukan Melayu terutama masyarakat Cina.

DAP telah menjadikan isu ini sebagai persoalan penting partinya menjelang pilihanraya umum yang akan datang. MCA sekalipun ia adalah kerabat Barisan Nasional yang merancang program itu ikut menyatakan bantahan sebagai satu usaha yang ia nantinya tidak dilihat oleh masyarakat Cina tidak mengambil berat tentang masalah itu. Cuma Gerakan, parti saingan MCA dalam Barisan Nasional tidak memberikan reaksi yang jelas atau bolehlah dikatakan ia membisu seribu bahasa. Ada pihak mengira bahawa sikap berdiam diri itu memungkinkan masyarakat Cina tidak gembira dengannya.

Apakah persoalan perlaksanaan 3M ini akan berjalan seperti yang dirancang atau sebaliknya bergantung kepada ketegasan pemimpin-pemimpin kerajaan yang selayaknya memandang kepentingan negara lebih penting dari kepentingan politik parti.

Apa jua yang berlaku mengenai krisis atas 3M ini, ia adalah hasil kelemahan Barisan Nasional dalam melaksanakan program pelajaran khususnya dari sudut mendaulatkan Bahasa Malaysia. Pelaksanaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi yang tunggal sewajarnya berlaku dalam tahun 1957 - sepuluh tahunsetelah merdeka seperti yang dimaktubkan dalam perlembagaan negara.

Bagaimanapun sehingga tahun 1982 kerja-kerja ke arah pelaksanaan sepenuhnya tidak juga boleh dijalankan dengan selicin yang dapat. Program 3M adalah dalam rangka pelaksaan sepenuhnya dasar bahasa tadi dalam bidang pelajaran.

Di sebalik isu yang gagal ini ia adalah mencerminkan suasana kenegaraan di Malaysia itu sendiri. Soal pokok yang menyebabkan pelaksaan dasar yang telah diterima itu dipertikai lagi ialah penyatuan masyarakat tidak berjalan dan tidak dapat dijalankan.

Malaysia yang mencapai kemerdekaan dengan nama Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya dalam tahun 1957 adalah sebuah kawasan yang diduduki oleh masyarakat pelbagai keturunan dan aliran fikiran dan kebudayaan serta agama. Persoalan besar yang dihadapi dari mula lahirnya lagi ialah masalah perkauman seperti yang diistilahkan oleh ilmu politik moden.

Masyarakat majmuk itu tadi tidak berupaya untuk mengisytiharkan satu rupa bangsa pada hari kemerdekaannya. Ia tidak dapat melaksanakan penggunaan bahasa rasminya yang belum ada pada ketika itu, dan ia tidak boleh menyatakan apakah identitinya dan kebudayaannya selain dari identiti masyarakat majmuk atau berbilang kaum. Ia hanya dapat berbangga atas keunikannya kerana punya berbagai kaum, berbagai bahasa dan kebudayaan, dan berbagai agama, lalu hidup bersama.