Search This Blog

Friday, June 10, 2011

Malaysia Ke Arah Pemikiran Islam

Bab 1 - Bahagian 2

Ada dua sebab mengapa satu rupa bangsa tidak dapat diisytiharkan pada pagi kemerdekaan diproklamirkan itu. Pertama situasi perkauman itu agak menebal, dan kedua tidak beraninya pemimpin-pemimpin ketika itu untuk bertindak tegas dalam soal yang penting itu.

Dalam hal ini keberanian pemimpin bertindak tegas meletakkan asas penyatuan bangsa itu, cukup dengan persediaan dan tindakan yang tepat dan cekap boleh mengatasi situasi perkauman yang ada sekalipun ia agak tebal.

Oleh kerana perkauman dan takut kepada perkauman itu sendiri lebih menguasai suasana, maka perkauman politik dan politik perkauman terus menguasai Malaysia dari sejak lahirnya hinggalah ke zaman Dasar Ekonomi Baru.

Telah ditakdirkan Allah bahawa kemerdekaan Malaya tidak boleh diperjuangkan oleh bangsa asal yang darinya kemerdekaan itu dirampas oleh penjajah sejak Peringgi Masuk Melaka kurun ke 15. Tidak ada salahnya kemerdekaan itu diperjuangkan oleh sekumpulan orang yang mewakili seluruh penduduk satu daerah kawasan yang terjajah. Tetapi British menghendaki kemerdekaan itu diperjuangkan oleh seluruh kaum di Malaya supaya tidak ada kumpulan yang lebih merasa berhak dari yang lain.

Saikologi British itu telah diterima, dan asas kemerdekaan Malaya tadi telah diperjuangkan melalui kehendak saikologi British itu sendiri. Dengan tercapainya kemerdekaan, kerana kemerdekaan itu diperjuangkan bersama oleh orang Melayu, Cina, dan India, maka satu rupa bangsa tidak dapat diisytiharkan ketika kemerdekaan itu dimasyhurkan hatta bangsa-bangsa itu sendiri nantinya bersetuju mencari satu formula mengenai pembentukan satu rupa bangsa itu tadi.

Dari segi logiknya bangsa yang menjadi penduduk Malaysia ialah bangsa Malaysia. Tetapi dari segi hakikatnya ia tidak dapat dilaksanakan begitu. Terpaksa dalam kad pengenalan rakyat jelata, di ruang rupabangsa tidak dicatitkan nama bangsa itu tetapi ia dicatitkan sebagai 'warganegara'.

Pernah dipertikaikan oleh Allahyarham Datuk Onn Jaafar di parlimen tentang rupa bangsa itu. Adakah ia cicak, mengkarung atau sebagainya? Dan hujah yang paling popular itu terus menjadi ingatan sejarah. Persoalan itu sesungguhnya satu kemelut bagi bangsa Malaysia itu sendiri.

Bagaimanapun usaha berjalan terus bagaimana masyarakat berbilang kepercayaan dan warna kulit itu boleh disatukan. Semangat kemerdekaan yang sama-sama dicapai tadi membolehkan tiga rumpun bangsa yang menjadi kaum itu bersetuju bahawa masalah yang dihadapi adalah besar dan setiap pihak merasakan masing-masing mesti berkorban.

Latar belakang yang ada pada kaum itu ialah Melayu yang menjadi kumpulanterbesar mungkinpunya sejarah tamadun kebudayaan yang gemilang sebelum kedatangan Islam, tetapi sesudah kedatangan Islam, maka kebudayaan dan cara hidupnya adalah baru. Mereka terpaksa meninggalkan segala corak kebudayaan jahiliyah yang diwarisi dari kebudayaan Hindu Sriwijaya dan Majapahit. Mereka menyesuaikan kehidupan mereka dengan kehidupan Islam. Dan mereka merasa kekuatannya terletak kepada keperibadian bumiputera.

Cina pula mempunyai tamadun yang gemilang di belakang mereka sejak beribu-ribu tahun. Dan demikian juga orang-orang India yang juga bangga dengan sejarah tamadun yang panjang diantara tamadun yang teragung di Asia.

Latar belakang yang dimiliki oleh setiap kaum terbesar itu menyulitkan wujudnya satu rupabangsa yang kukuh setahun dua selepas merdeka. Tetapi semangat kemerdekaan tadi berjaya membawa masing-masing pihak menerima perlunya diwujudkan satu identiti kiranya mereka menjadi Malaysia sebuah negara yang berjaya dan berbangga dengan keupayaannya mengatasi masalah sekalipun masalah itu terlalu berat dipandang dan berat juga dipikul.

Thursday, June 9, 2011

Malaysia Ke Arah Pemikiran Islam

Bab 1 - Bahagian 1

Apabila program 3M - membaca, menulis dan mengira - satu pendekatan baru dalam dasar pelajaran kebangsaan dilancarkan buat pertama kalinya awal tahun 1982 ini, terdapat tentangan serentak dari masyarakat bukan Melayu terutama masyarakat Cina.

DAP telah menjadikan isu ini sebagai persoalan penting partinya menjelang pilihanraya umum yang akan datang. MCA sekalipun ia adalah kerabat Barisan Nasional yang merancang program itu ikut menyatakan bantahan sebagai satu usaha yang ia nantinya tidak dilihat oleh masyarakat Cina tidak mengambil berat tentang masalah itu. Cuma Gerakan, parti saingan MCA dalam Barisan Nasional tidak memberikan reaksi yang jelas atau bolehlah dikatakan ia membisu seribu bahasa. Ada pihak mengira bahawa sikap berdiam diri itu memungkinkan masyarakat Cina tidak gembira dengannya.

Apakah persoalan perlaksanaan 3M ini akan berjalan seperti yang dirancang atau sebaliknya bergantung kepada ketegasan pemimpin-pemimpin kerajaan yang selayaknya memandang kepentingan negara lebih penting dari kepentingan politik parti.

Apa jua yang berlaku mengenai krisis atas 3M ini, ia adalah hasil kelemahan Barisan Nasional dalam melaksanakan program pelajaran khususnya dari sudut mendaulatkan Bahasa Malaysia. Pelaksanaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi yang tunggal sewajarnya berlaku dalam tahun 1957 - sepuluh tahunsetelah merdeka seperti yang dimaktubkan dalam perlembagaan negara.

Bagaimanapun sehingga tahun 1982 kerja-kerja ke arah pelaksanaan sepenuhnya tidak juga boleh dijalankan dengan selicin yang dapat. Program 3M adalah dalam rangka pelaksaan sepenuhnya dasar bahasa tadi dalam bidang pelajaran.

Di sebalik isu yang gagal ini ia adalah mencerminkan suasana kenegaraan di Malaysia itu sendiri. Soal pokok yang menyebabkan pelaksaan dasar yang telah diterima itu dipertikai lagi ialah penyatuan masyarakat tidak berjalan dan tidak dapat dijalankan.

Malaysia yang mencapai kemerdekaan dengan nama Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya dalam tahun 1957 adalah sebuah kawasan yang diduduki oleh masyarakat pelbagai keturunan dan aliran fikiran dan kebudayaan serta agama. Persoalan besar yang dihadapi dari mula lahirnya lagi ialah masalah perkauman seperti yang diistilahkan oleh ilmu politik moden.

Masyarakat majmuk itu tadi tidak berupaya untuk mengisytiharkan satu rupa bangsa pada hari kemerdekaannya. Ia tidak dapat melaksanakan penggunaan bahasa rasminya yang belum ada pada ketika itu, dan ia tidak boleh menyatakan apakah identitinya dan kebudayaannya selain dari identiti masyarakat majmuk atau berbilang kaum. Ia hanya dapat berbangga atas keunikannya kerana punya berbagai kaum, berbagai bahasa dan kebudayaan, dan berbagai agama, lalu hidup bersama.

Wednesday, April 13, 2011

Pendapatan rendah, belanja yang tinggi

SUDAH dua tahun kerajaan yang hendak mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian melancarkan matlamat menjana rakyat berpendapatan tinggi.

Ia satu matlamat yang lebih maju ke depan dari sekadar membasmi kemiskinan yang diperjuangkan oleh para perdana menteri yang lalu. Ia bukan sekadar tidak ada lagi orang miskin, bahkan lebih dari pendapatan sederhana. Berpendapatan tinggi samalah dengan menjadi kaya.

Sekalian rakyat menunggu saat tibanya tuah berpendapatan tinggi itu. Bila? Sepuluh tahun? Lima belas tahun? Dua puluh tahun? Atau mati dulu generasi yang ada ini baru masing-masing berpendapatan tinggi.

Sementara menunggu menjadi kaya, diuji dulu rakyat dengan amalan meneruskan kenaikan harga minyak. Yang dahulu dibincangkan dulu, bila minyak hendak dinaikkan. Riuh sekampung bagi menaikkan dua tiga sen seliter. Semasa membentangkan bajet barulah Menteri Kewangan Tun Tan Siew Sin mengumumkan kenaikan harga minyak.

Sejak kerajaan rakyat didahulukan ini, sedar-sedar minyak naik dan berkali-kali.

Pendapatan belum naik tetapi perbelanjaan sudah naik. Orang yang memiliki motosikal jika yang di kampung berpendapatan sederhana tetapi yang di bandar berpendapatan rendah, bertambah belanja hariannya. Yang bermotokar apa lagilah.

Yang berjimat tidak menggunakan kenderaan sendiri pergi bekerja. Menggunakan kenderaan awam. Tetapi tambang pula naik. Tambang pergi kerja naik dan tambang sekolah anak-anak naik.

Ikan, sayur, beras, tepung, minyak masak, gula dan semua barang keperluan naik belaka berikutan kenaikan minyak. Pendapatan belum tinggi, belanja seisi rumah sudah tinggi.

Tidak maju negara kalau tidak ada restoran dan gerai makan. Negara yang ekonominya berkembang, gerai makan hidup di merata lorong. Belanja makan di kedai melambung.

Bagi penduduk bandar yang bahan makan berbeli, membeli makan lebih ekonomi dari masak di rumah terutama yang si isteri bekerja.

Bagi keluarga yang beberapa orang anak bersekolah terasa peritnya tambahan belanja berikutan dengan kenaikan semua benda dan perkhidmatan.

Bagaimana hendak menyalahkan polis rasuah dan pegawai awam rasuah? Hendak menampung berbelanjaan tinggi adalah beban besar. Tak rasuah, tak menipu dan tak mencuri tak cukup makan kerana pendapatan belum tinggi sedang perbelanjaan sudah tinggi.

Harga barang yang tinggi dan perbelanjaan yang tinggi itu tidak mati setakat yang sudah tinggi itu, ia akan bertambah tinggi tidak tentu masa. Barang yang sudah naik itu akan naik lagi. Seperti minyak yang naik di awal tahun akan naik beberapa kali lagi menjelang hujung tahun.

Apa guna Tuhan menganugerah minyak pada Malaysia kalau harga runcit minyak naik berikut dengan kenaikan harga minyak dunia? Petronas berpendapatan tinggi tetapi rakyat berbelanja tinggi. Bila harga minyak dunia naik, minyak Petronas pun naik. Tetapi buat apa duit yang banyak itu?

Orang yang berpendapatan sederhana dua tahun dulu, berikut dengan belanja harian yang tinggi itu menjadikan pendapatan mereka di bawah sederhana. Dia hampir mencapai tahap kemiskininan atau sudah jadi miskin. Bagi yang miskin pula menuju kemiskinan tegar atau fakir.

Bagi yang fakir, apa lagi kalau tidak jadi papa kedana.

Masyarakat kita berkembang. Tiap-tiap bulan ada tiga empat jemputan kahwin. Kadang-kadang dua tiga jemputan seminggu. Sejak lebih sepuluh tahun lalu jemputan bersalam sepuluh ringgit dengan tuan rumah. Kalau suami isteri hadir, suami bersalam dan isteri pun bersalam.

Walaupun harga barang sudah banyak kali naik dan harga katering pun sudah banyak kali naik, rata-rata salam tak naik. Kebanyakannya kekal sepuluh ringgit. Salam itu adalah tanggungjawab masyarakat dan jiran yang amat penting bagi merengankan belanja perkahwinan sesudah amalan gotong royong mula hapus.

Dengan kenaikan perbelanjaan hidup yang tinggi sekarang, untuk bersalam sepuluh ringgi mulai menjadi beban di sebabkan bilangan jemputan bertambah. Mungkin harga salam terpaksa diturunkan kepada lima ringgit bagi mengimbangi belanja yang tinggi.

Saya tidak nampak harga minyak selalu naik itu dapat dikekal setakat yang ada. Ertinya belanja bagi setiap rakyat sudah tentu akan bertambah tinggi dan pendapatan tinggi entah bila hendak dicapai?

Kebimbangannya ialah bila pendapatan itu tinggi belanja juga sama tinggi atau bertambah tinggi. Akhirnya kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang juga.

Monday, March 21, 2011

Thursday, March 27, 2008

CALON MELAYU BN JUGA PATUT DIHUKUM

TAN Sri Dr. Koh Tsu Koon yang meninggalkan kerusi DUN di sebelah Pulau Pinang untuk merebut kerusi Parilem di sebelah Seberang Perai seperti meragui sikap mengundi orang Melayu.
Dalam satu siding media dimintanya pengundi supaya jangan menghukum calon bukan Melayu Barisan Nasional.
Sepanjang pengamatan berpolitik orang Melayu selepas diperkenalkan pilihan raya orang Melayu tidak pernah mengenal perbezaan antara calon Melayu dan bukan Melayu baik semasa Perikatan mahu pun setelah menjadi BN. Sebaliknya tidak berani mana-mana orang UMNO menjadi calon BN di kawasan pengundi bukan Melayu.
Rata-rata calon bukan Melayu BN berebut-rebut hendakkan kawasan pengundi Melayu.
Koh Tsu Koon memilih kawasan sebelah Seberang Perai itu pun dipercaya mahukan sokongan pengundi Melayu itu.
Gerangan apa dia mengiatkan penundi jangan menghukum calon bukan Melayu BN? Adakah dia sudah tidak yakin lagi kepada orang Melayu, yang mungkin mulai bosan dengan BN khususnya di Pulau Pinang, kerana telah diperkuda BN negeri itu sejak Gerakan menyertai BN awal 70an?
Dengan imej rasuah, pentadbiran kewangan yang tidak berhemah, memupuk kroni, menuju arah wasrisan kekeluargaan, harga barang yang tidak terkewal, jenayah yang tidak terbendung, keruntuhan akhlak dan penularan penyakit sosial, hakisan amalan demokrasi dan kedaulatan rakyat yang semakin pudar, maka bukan sekadar calon bukan Melayu BN wajar dihukum, calon Melayunya ssendiri pun perlu dihukum.
UMNO sudah menjadi parti kayu reput yang berulat, dipenuhi oleh orang yang mencari kekayaan dan kepentingan diri yang sebanyak-banyaknya, BN menjadi ikan busuk menjadikan kerajaan menghukum dan menghidap darah rakyat bagi mengkayakan keluarga pemimpin-pmimpinnya. Tiada cara UMNO dan komponennya dapat dibersihkan tanpa menghukum kumpulan parti itu.
Jika BN dibiarkan berkuasa lagi, bukan saja pemimpinnya menjadikan negara seperti lembu gemuk dulunya dihisap darah hingga menjadi kurus kering, tetapi boleh menjadikan lembu itu bercerai kulit dengan tulang.
Tiada cara bagi UMNO itu dibaiki dan BN itu dibersihkan, melainkan dengan menghukum calon-calonnya – Melayu dan bukan Melayu.
Tentang Gerakan sendiri khususnya, sebelum ia berkuasa melalui BN, masih ada tanah dan harta orang Melayu di Pulau Pinang khususnya di Seberang Perai. Meski pun pentadbiran Negeri Selat di Pulau Pinang pada zaman penjajah dulu tidak bercorak pro Melayu, tapi ada juga berbaki harta orang Melayu semasa kemerdekaan dicapai.
Kerajaan Perikatan di bawah Ketua Menteri MCA Wong Pow Nee tidak mengambil berat kepentingan Melayu sebagaimana yang dihendaki oleh semangat UMNO, tetapi selama berketua-menterikan Dr. Lim Chong Eu dan setiausha politiknya ialah Dr. Koh Tsu Koon harta orang Melayu boleh dikatakan licin, yang masih kekal ialah tanah kubur. Tanah wakaf Islam pun terhimpit.
Kawasan Pulau Pinang itu sendiri sebelum Gerakan berkuasa, keadaannya kira-kira seperti Singapura sebelum Lee Kuan Yew berkuasa. Sebagai mana Melayu Singapura itu jadi sesjarah saja di bawah Lee Kuan Yew, maka pulau di bawah Lim Chong Eu dan setiahsaha politiknya adalah Dr. Koh Tsu Koon ntidaklah banyak beza dengan Singapura. Seberang Perai pun tidaklah banyak yang dapat dibanggakan oleh orang Melayu khususnya UMNO.
Dr. Lim Chong Eu tidak mengambil Timbalan Ketua Menteri UMNO dari orang yang tajam perhatian politiknya tetapi memilih UMNO veteran yang sudah warga emas, Datuk Ahmad Badawi.
Masa mudanya memanglah dia kritikal dan lantang. Sesiapa pun yang jadi warga emas, tidaklah sukar untuk diurus.
Ia memberi laluan mudah kepada pimpinan Gerakan untuk memperkuda orang Melayu, UMNO dan Barisan Nasional. Kalau Prof. Dr. Syed Husein Al-Atas yang menjadi Presiden pengasas Gerakan boleh dimasukkan Chong Eu ke dalam poketnya, maka tidaklah apa-apa masalah untuk memperkudakan UMNO apa lagi ketua kanannya dalam kerajaan seorang warga emas.
Sejak lebih 20 tahun lalu orang Melayu banyak membangkitkan tentang hakisan orangMelayu dan hartanya di Pulau Pinang, malah ia disalak begitu rupa orang UMNO, tetapi tiadalah apa yang dapat dibuat untuk membela nasib dan kedudukan orang Melayu di Pulau Pinang termasuklah Seberng Perai.
Politik Gerakan yangdililndungi oleh Barisan Nasional itu adalah mengecewakan orang Melayu. Kalau Nor Muhamad Yaakub, Menteri Kewangan Kedua itu boleh dikira ssebagai orang Melayu, dia sendiri tidak berani menjadi calon di mana-mana di bahagian Pulau Pinang. Dia ditumpangkan di Tasik Gelugor.
Itulah yang membayangkan nasib orang Melayu di bawah politik Gerakan yang kini diwarisi oleh Koh Tsu Koon.
Kalau orang Melayu bosan dengan calon BN khususnya dari Gerakan, ia bukan kerana perkauman, kerana Melayu jarang gagal mengundi calon bukan Melayu BN sebelum ini, tetapi adalah gara-gara politik Gerakan yang dilindungi oleh BN.
Maka yang perlu dihukum sekarang ialah semua calon BN, Melayu dan bukan Melayu.
Calon aternatif pun terdiri dari semua – Melayu dan bukan Melayu.

ADA SOKONG MEMBAWA REBAH

SEKALIPUN BN tidak dapat majoriti dua pertiga di Parlimen, tetapi ia masih mempunyai majoriti yang besar. Sepatutnya tiada apa yang boleh menggugat kuasanya dan ia tetap boleh mewujudkan sebuah pemerintahan yang stabil dengan majoriti yang ada itu.
Tetapi suasana nampak gawat bagi parti pemerintah itu. Dari parti induknya BN hingga kepada anggota parti kerabatnya dari UMNO, MCA, MIC dan lain-lain semuanya bercempera dengan keputusan pilihan raya 8 Mac lalu.
Gerakan punya sebab jika ia sesak nafas. Ia bukan sekadar hilang pengkalan kerana kekalahan kesemua kerusi di Pulau Pinang, ia jadi parti yang sudah habis masa depan dan tiada peluang untuk pulih semula. Anggota-anggotanya terpaksa memikirkan menyertai parti lain seperti MCA.
Begitu juga PPP yang hanya hidup kerana hendak membanyakkan bilangan parti yang bergabung dalam BN. Tetapi ia tiada peranan yang penting.
MIC mungkin boleh dipulihkan jika Subramaniam datang menggantikan Samy Vellu. Tetapi bergantung juga pada keupayaan DAP dan PKR dapat atau tidak memberi ruang politik yang lebih selesa kepada kaum India.
Setakat ini masyarakat India dapat lebih banyak perwakilan dari dua buah parti itu dibandingkan dengan apa yang ia pernah dapati dari MIC. Kaum India tidak pernah dapat wakil rakyat sebanyak sekarang. DAP dan PKR telah memberi peluang kepadanya jadi Timbalan Ketua Menteri dan Timbalan Menteri Besar, sedang ia tidak pernah dimimpikan semasa jadi penyokong setia BN dulu.
Jika peluang ini terjamin, maka harapan memulihkan MIC tidak dapat ditentukan dalam masa yang terdekat.
Manakala harapan MCA pula bergantung pada jaya atau tidaknya muafakat parti pembangkang yang menubuhkan empat kerajaan negeri di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor itu. Kiranya muafakat itu berjaya, MCA akan berada dalam keadaan yang sukar.
Tetapi masih pekat dengan UMNO. Kiranya keadaan yang ada ini dapat dipertahankan, dan Perdana Menteri dapat belajar dari mesej yang diberi pengundi melalui pilihan raya lalu, nescaya tiada sebab ia tidak boleh mewujudkan kerajaan yang stabil.
Kerajaan yang ada sekarang masih disokong oleh majoriti yang besar walaupun ia tidak dapat majoriti dua pertiga. Jika sekalian yang mengaku setia itu benar-benar menyokong Datuk Seri Abdullah Badawi sebagai Perdana Menteri, tiada sebab kerajaan goyang.
Dengan majoriti itu ia boleh buat bermacam-macam kecuali meminda perlembagaan dan membuat undang-undang baru saja. Kerajaan Amerika, kerajaan Jerman, Perancis dan Britain yang berfungnsi sekarang tidak ditegakkan dengan majoriti dua pertiga. Masing-masing ada memiliki majoriti yang sederhana dan kadang-kadang majoriti yang kecil saja.
Masing-masing dapat mewujudkan kerajaan yang kuat. Kekuatan kerajaan barat itu bukan kerana majoriti dua pertiganya, tetapi kerana wujudnya kedaulatan rakyat sebagai bangsa yang berintegriti.
Kerajaan BN yang terbaru ini sebenarnya kuat, tetapi yang menjadi masalah ialah ia tidak punya pimpinan yang kuat. Sama ada masing-masing menyatakan sokongan atau tidak kepada pimpinan, pimpinan yang kuat mampu meyakinkan orang ramai ia boleh memimpin dan mewujudkan kerajaan yang kuat dengan majoriti yang ada itu.
Memadai dengan mandat yang ada itu ketua parti yang berkuasa bertindak cepat menubuhkan kerajaan, menyambung kerajaan yang lalu, meneruskan pemerintahan dan pentadbiran seperti biasa.
Tidak perlu Perdana Menteri mahu menunjukkan sikap apolojetik kerana tidak dapat majoriti dua pertiga, dan tidak perlu dihujani dengan terlalu banyak kenyataan menyokong dan berdiri teguh di belakang Perdana Menteri dari mana-mana pihak.
Sebuah kerajaan yang kuat dan satu pimpinan yang berintegriti, tidak memerlukan banyak pernyataan sokongan dari orang ramai. Memadai satu sokongan dari golongan pucuk pimpinan bersetuju dengan Perdana Menteri menyambung pimpinannya, maka Perdana Menteri boleh mengadap Yang Dipesrtuan Agong untuk menubuhkan kerajaan diikuti dengan pembentukan kerajaan baru.
Maka ambillah masa dua tiga hari untuk mengumumkan nama jemaah menteri yang baru.
Itulah yang sepatutnya dibuat.
Apa yang berlaku Perdana Menteri dilihat seperti seorang yang terkejut dengan ketiadaan majoriti dua pertiga itu, terkejut dengan kegagalan mengambil alih kerajaan Kelantan yang jadi inti perjuangan sejak tahun 2004, dan terkejut dengan kekalahan di empat buah negeri lagi iaitu di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor.
Perdana Menteri menunggu dulu sebanyak-banyak pernyataan sokongan padu tak berbelah bagi dari semua pihak, hingga pasukan silat pun tampil menyatakan sokongan tak berbelah baginya.
Tidak cukup dengan semua lapisan UMNO dari Timbalan Presiden hingga ke ketua-ketua cawangan bangun untuk menyatakan sokongan padu. Penuh muka surat khabar dan TV berita semua orang memberi sokongan kepada Perdana Menteri untuk menjadi Perdana Menteri lagi.
Apa perlunya pernyataan sokongan yang melimpah ruah itu?
Dan bukan mustahil apabila Parlimen bersidang penggal baru ini ada yang membawa usul memberi sokongan kepada Perdana Menteri.
Pernah Dewan Rakyat meluluskan usul seperti itu apabila Tun Hussein Onn mula menggantikan Tun Razak sebagai Perdana Menteri. Biasa Parlimen bersidang membincang untuk tidak percaya terhadap Perdana Menteri. Tetapi Dewan Rakyat pernah bersidang membincangkan undi kepercayaan kepada Perdana Menteri.
Mengapa?
Tidakkah itu mencemininkan adanya gambaran kurang yakin setengah orang terhadap integriti Perdana Menteri itu.
Amat dibimbangi yang mengemukakan undi kepercayaan itu dari gejala yang kurang kepercayaan kepada integritinya dan usul sokongan itu adalah satu gambaran di sebalik sokong membawa rebah.
Perdana Menteri mengambil masa 10 hari untuk membentang kabinet baru. Mengambil masa hampir 10 hari untuk menyerahkan watikah menyetujui Shahidan Kassim untuk menjadi Menteri Besar Perlis semula dan mengambil masa yang sama panjang untuk menamakan Idris Jusoh menjadi Menteri Besar sekali lagi di Terengganu.
Macam-macam timbul dalam masa yang singat tetapi panjang itu. Sempak Ong Ka Ting berfikir tidak mahu kekal dalam kabinet. Sempat orang itu begitu dan orang ini begini.
Dalam suasana itu tiba-tiba sempat Mukhriz menulis surat meminta supaya Perdana Menteri berundur, sempat Tengku Razaleigh menulis surat meminta diadakan perhimpunan agung khas UMNO sebelum Perhimpunan Agung.
Dalam suasana itu mulai ribut Pemuda UMNO hendak memecat Mukhriz. Adakah ia berhenti di situ?
Memang keputusan pilihan raya besar gemanya, tetapi ia boleh tidak menjadi ribut kerana majoriti BN di Parlimen masih besar. Tetapi dalam masa 10 hari ini, seolah raja-raja jadi tempat menyelesai masalaha politik, kerana orang politik lambat bertindak.
Orang politik sibuk dengan menyatakan sokongan yang tak putus-putus kepada Perdana Menteri, hingga sokongan itu seperti satu sokongan membawa rebah. Tidakkah kerajaan sekarang berhadapan dengan satu krisis keyakinan?

HAK RAJA MENOLAK

MENGIKUT amalan demokrasi biasa pemimpin sebuah parti politik atau seorang yang disokong oleh sekumpulan orang-orang yang menguasai sebuah majlis perundangan berhak membentuk kerajaan sebaik-baik saja dia mendapat majoriti mudah.
Tidak perlu dia menunggu keputusan semua kerusi yang dipertandingkan. Banyak kejadian sebaik saja keputusan majoriti mudah itu diperolehi, maka ketika itu juga kumpulan itu pergi ke istana untuk mndapatkan persetujuan bagi membentuk kerajaan. Sekali pun lewat malam.
Maka Raja atau ketua negeri bertekan meminta ketua kumpulan itu membentuk kerajaan. Malah ada yang mengangkat sumpah ketika itu juga.
Bagaimana pun raja atau ketua negeri atau Presiden bagi setengah negara berhak menolak permintaan itu atas sebab-sebab tertentu. Tetapi jarang benar berlaku kejadian ketua negeri menolak permohonan ketua majoriti kumpulan yang mendapat sokongan itu.
Ada baik dan ada persoalannya apabila peraturan itu dibuat begitu. Kesemua negeri atau negara membuat peruntukan begitu. Raja atau ketua negeri diberi hak memperkenan atau tidak memperkenankan permintaan membentuk kerajaan.
Malaysia yang sudah 50 tahun merdeka itu juga pernah menerumi pengalaman seperti itu. Dalam tahun 1959 PAS memenangi majoriti cukup dalam pilihan raya di negeri Terengganu. Ketua parti di negeri itu Ahmad Azam. Beliau tidak dapat membentuk kerajaan disebabkan beliau bukan anak jadi Terengganu.
Ahmad Azam orang Perak. Beliau cukup syarat untuk membentuk kerajaan di negeri itu. Tetapi kecenderungan istana mahukan anak jadi Terengganu menjadi ketua kerajaan pilihan pertama negeri itu. Ketika yang sama negeri Perlis tidak berhalangan untuk menerima Shaikh Ahmad menjadi Menteri Besar Perlis walaupun dia lahir di Pulau Pinang.
Atas penolakan ke atas Ahmad Azam itu, maka PAS mengemukakan calon kedua iaitu Daud Abdul Samad. Itu pengalaman pertama.
Pengalaman kedua berlaku di Perak ketika Tan Sri Ghazali Jawi menjadi Menteri Besar. Ia tidak bermula dengan pemilihannya untuk menjadi Menteri Besar. Ada masalah antaranya dengan istana semasa dia menjadi Menteri Besar. Berikutnya dia tidak meneruskan penggalnya hingga tamat. Dia diangkat menjadi Duta Besar ke Mesir dan Perak mendapat Menteri Besar baru.
Beberapa tahun kemudian UMNO menghantar Ghazali Jawi untuk menjadi Menteri Perak semula. Sultan Perak ketika itu Sultan Idris Shah tidak perkenan. Tidak perkanan baginda itu telah disampaikan ke pengetahuan Perdana Menteri Tun Razak.
Raja Azlan Shah, seorang waris takhta kerajaan negeri Perak yang ketika itu adalah seorang pegawai kehakiman kerajaan persekutuan dikatakan pernah menyampaikan pandangan Sultan Perak itu kepada pihak yang berpengaruh dalam politik di Kuala Lumpur.
Pandangan istana itu tidak dihiraukan oleh rumah UMNO. Ketika berkempen di Perak Tun Razak mengadap Sultan Perak. Baginda menyatakan tidak perkenannya atas pengiriman semua Ghazali Jawi untuk menjadi Menteri Besar sekali lagi.
Kerana masa sudah tidak banyak, maka sukar bagi Tun mengubah pilihannya. Beliau merayu Sultan menerimanya untuk sementara. Dan terbukti kemudiannya berlaku suasana tidak sejalan antara pentadbiran di Perak yang berakhir Ghazali Jawi terpaksa berundur juga.
Menjelang pembentukan kerajaan Barisan Nasional menggantikan Perikatan, Dato Asri Muda dilantik oleh Tun Razak menjadi Menteri Tanah dan Wilayah dalam kerajaan pusat. Dato Asri yang mengosongkan jawatan Menteri Besar Kelantan mengemukakan nama Wan Ismail Wan Ibrahim menjadi gantinya sebagai Menteri Besar Kelantan.
Tetapi Sultan Kelantan, Tuanku Yahya Petra perkenan kepada Mohamad Nasir untuk menjadi Menteri Besar yang baru. PAS sebagai parti yang menguasai majoriti ADUN Kelantan tidak menamakan Dato Mohamad Nasir, tetapi Raja tidak perkenan kepada nama yang dikemukakan oleh PAS, sebaliknya baginda ada pilihan lain.
Tiada ada yang dapat dibantah oleh PAS melainkan menerika seorang tokoh PAS lain untuk menjadi Menteri Besar.
Selepas kejadian 13 Mei 1969, Perikatan Perak tidak dapat membentuk kerajaan kerana ia tidak cukup majoriti. Pembangkang yang terbesar hasil pilihan raya itu ialah PPP pimpinan Dato S.P.Seenivasagam yang menguasai 12 kerusi. Jika DAP, Gerakan dan seorang wakil rakyat PAS dapat mengadakan muafakat, pembangkang boleh mencuba membentuk kerajaan minoriti.
PPP mempunyai seorang ADUN Melayu iaitu Samsuddin Harun yang dicadangkan menjadi Menteri Besar kalau ia boleh membentuk kerajaan.
Permintaan Seenivasagam untuk menghadap bagi menubuhkan kerajaan hanya diperkenan kiranya Seenivasagam dapat membawa kesemua ADUN pemgbangkang yang menang di negeri Perak.
Sultan Perak mahu mendapat kepastian setiap ADUN pembangkang itu bersetuju untuk membentuk kerajaan alternatif. Kiranya Seenivasagam tidak dapat membawa penyokong-penyokongnya itu, maka baginda tidak bersedia menerimanya mengadap.
Seenivasagam tidak berjaya mendapatkan sokongan Gerakan dan DAP pada masa itu.
Perikatan akhirnya berjaya mengepung Samsudin pulang ke rumahnya. Setelah dia tidak dapat pulang ke rumah beberapa hari, tiada jalan baginya melainkan menyertai UMNO. Barulah dia dapat balik dan barulah Perikatan dapat majoriti membentuk kerajaan Perak.
Menteri Besar Terengganu Dato Nik Hassan Abdul Rahman pernah menghadapi masalah dengan istana ketika pemerintahan Al-Marhum Sultan Ismail Nasaruddin Shah. Apabila Dewan Undangan Negeri dibubarkan tahun 1974, BN tidak lagi mengekal Dato Nik Hasan bertanding untuk negeri sebaliknya beliau ditarik ke Parlimen.
Jika BN mengekalkan Dato Nik Hassan ssebagai calon MB semula, maka pembentukan kerajaan akan tergendala.
Dato Mohamad Yaakub juga menghadapi masalah dengan istana Kelantan semasa menjadi Menteri. Masalahnya selesai beliau dan sekalin ADUN BN kalah dalam Pilihan raya Umum 1990.
Masalah yang sama juga berlaku di Johor di hujung pemerintahan Tan Sri Othman Saad. Pelesaiannya ialah Tan Sri Othman Saad terpaksa berundur. Demikian juga Pahang berdepan dengan masalah semasa Rahim Bakar menjadi Menteri Besar.
Kelewatan mengangkat sumpah pernah berlaku di Negeri Sembilan do hujung pentadbiran Tan sri Isa Samad tetapi ia tidaklah segempar yang diterjadi di Perlis dan di Terenggau selepas pilihan raya 8 Mac 2008 yang lalu.
Sultan Perak dan Sultan Selangor telah memainkan peranan yang menari menyelesaikan pembentukan kerajaan campuran di kedua negeri itu. Sultan Selangor dan Pemangku Sultan Perak telah bertemu secara berasingan dengan semua parti yang hendak membentuk kerajaan. Nampaknya pendekatan itu berjaya mengatasi semua rentangan.
Keributan berlaku di Perlis dan Terengganu sejak Parlimen dibubarkan lagi. Datuo Seri Shahidan Kassim dan Dato Seri Idris Jusoh bertindak mencantas seiapa saja yang tidak sekata dengannya. Menteri dan timbalan menteri yang tidak menggugat kerusi kedua Menteri Besar ikut dicantas.
Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri tidak dapat banyak menghalang kedua pemimpin UMNO itu dari menjalan kuasa kuku besinya. Semuanya tidak bersuatu bila berhadapan dengan Shahidan dan Idris. Sama seperti orang Iraq berdepan dengan Saddam Hussein.
Ternyata kerakusan mereka itu ikut menyingkung raja-raja di kedua negeri. Sesudah ketua parti dan Perdana Menteri tidak dapat menundukkan Shahidan dan Idris Jusoh, maka raja-raja yang mendengar rintihan rakyat, pegawai-pegawai dan pandangan umum telah menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk tidak memperkenan perlantikan semua Shahidan dan Idris.
Sehingga seminggu Perdana Menteri tidak berjaya meredakan keadaan, maka Raja Perlis bertndak sendiri memperkenan Dr. Isa Sabu menjadi Menteri Besar kerana lapan ADUN mengaku bersetuju dengan Dr. Isa Sabu mengetuai kerajaan.
Ketika rencana ini ditulis, antara ADUN Terengganu sudah berada di Lembah Kelang untuk bertemu penasihat raja dan Perdana Menteri tentang apa yang patut dibuat dengan masa depan kerajaan Terengganu.
Perdana Menteri berjanji untuk menyelesaikan perkara itu. Tetapi adakah Perdana Menteri akan menghormati sikap raja yang telah diketahui umum tidak perkenan kepada kedua-dua pemimpin UMNO Perlis dan Terengganu itu?
Raja-raja sudah menyatakan sikapnya. Bijakkah Perdana Menteri melakukan sesuatu yang b oleh dilihat tidak mendengar kemahuan raja?
Apa jua keputusan Perdana Menteri tidak boleh dilihat tidak bersama raja. Pernah raja-raja dirasakan bersikap berlebihan. Tetapi dalam kes di Perlis dan Terenganu ini dirasakan raja-raja telah berada di pihak yang popular.
Kedua-dua Menteri Besar itu dilihat oleh umum sebagai panglima zaman purbakala ketika rakyat tidak berdaulat dan tidak tahu erti demokrasi dan kebebasan. Agaknya kalau mereka jadi Presiden, lebih kurang saja keadaannya dengan Saddam Hussein.
Perdana Menteri tidak dapat menundudukkan mereka. Hanya raja tempat semua orang mengadu.