Search This Blog

Thursday, June 9, 2011

Malaysia Ke Arah Pemikiran Islam

Bab 1 - Bahagian 1

Apabila program 3M - membaca, menulis dan mengira - satu pendekatan baru dalam dasar pelajaran kebangsaan dilancarkan buat pertama kalinya awal tahun 1982 ini, terdapat tentangan serentak dari masyarakat bukan Melayu terutama masyarakat Cina.

DAP telah menjadikan isu ini sebagai persoalan penting partinya menjelang pilihanraya umum yang akan datang. MCA sekalipun ia adalah kerabat Barisan Nasional yang merancang program itu ikut menyatakan bantahan sebagai satu usaha yang ia nantinya tidak dilihat oleh masyarakat Cina tidak mengambil berat tentang masalah itu. Cuma Gerakan, parti saingan MCA dalam Barisan Nasional tidak memberikan reaksi yang jelas atau bolehlah dikatakan ia membisu seribu bahasa. Ada pihak mengira bahawa sikap berdiam diri itu memungkinkan masyarakat Cina tidak gembira dengannya.

Apakah persoalan perlaksanaan 3M ini akan berjalan seperti yang dirancang atau sebaliknya bergantung kepada ketegasan pemimpin-pemimpin kerajaan yang selayaknya memandang kepentingan negara lebih penting dari kepentingan politik parti.

Apa jua yang berlaku mengenai krisis atas 3M ini, ia adalah hasil kelemahan Barisan Nasional dalam melaksanakan program pelajaran khususnya dari sudut mendaulatkan Bahasa Malaysia. Pelaksanaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi yang tunggal sewajarnya berlaku dalam tahun 1957 - sepuluh tahunsetelah merdeka seperti yang dimaktubkan dalam perlembagaan negara.

Bagaimanapun sehingga tahun 1982 kerja-kerja ke arah pelaksanaan sepenuhnya tidak juga boleh dijalankan dengan selicin yang dapat. Program 3M adalah dalam rangka pelaksaan sepenuhnya dasar bahasa tadi dalam bidang pelajaran.

Di sebalik isu yang gagal ini ia adalah mencerminkan suasana kenegaraan di Malaysia itu sendiri. Soal pokok yang menyebabkan pelaksaan dasar yang telah diterima itu dipertikai lagi ialah penyatuan masyarakat tidak berjalan dan tidak dapat dijalankan.

Malaysia yang mencapai kemerdekaan dengan nama Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya dalam tahun 1957 adalah sebuah kawasan yang diduduki oleh masyarakat pelbagai keturunan dan aliran fikiran dan kebudayaan serta agama. Persoalan besar yang dihadapi dari mula lahirnya lagi ialah masalah perkauman seperti yang diistilahkan oleh ilmu politik moden.

Masyarakat majmuk itu tadi tidak berupaya untuk mengisytiharkan satu rupa bangsa pada hari kemerdekaannya. Ia tidak dapat melaksanakan penggunaan bahasa rasminya yang belum ada pada ketika itu, dan ia tidak boleh menyatakan apakah identitinya dan kebudayaannya selain dari identiti masyarakat majmuk atau berbilang kaum. Ia hanya dapat berbangga atas keunikannya kerana punya berbagai kaum, berbagai bahasa dan kebudayaan, dan berbagai agama, lalu hidup bersama.

No comments:

Post a Comment