Search This Blog

Tuesday, February 5, 2008

PEMERGIAN MUFTI ISHAK BAHAROM SATU KEHILANGAN

SEJURUS selepas pukul 3 petang 30 Januari, 2008 Mufti Dato Ishak Baharom dipanggil Tuhannya kepangkuanNya semasa berusia 82 tahun. Segera beritanya tersebar ke seluruh Negara.
Takziah buat keluarganya dan para pencinta setianya.
Sejak Asar, masjid di mukimnya di Taman Seri Andalas, Kelang dipenuhi pengunjung yang kasih dan menyanjungnya. Kawasan masjid seperti suasana kedatangan solat Jumaat.
Sekalian segera bergegas ke situ, kerana akhir-akhir ini umat Islam amat peka untuk menyegerakan penyempurnaan jenazah, apa lagi jenazah itu adalah alim terbilang diketahui tawadhuk dan zuhudnya.
Tetapi istana Selangor memerintahkan pengkebumiannya disempurnakan penuh istiadat negeri di Makam Diraja Shah Alam. Perintah Sultan adalah perintah tertinggi yang tidak boleh dibantah. Urusasn jenazahnya tidak dapat disegerakan, ditunda hingga esoknya. Pada syaraknya Raja tidak boleh dikenakan hukum hudud atas apa kesalahan jua.
Dalam perjalanan ke rumahnya saya menyebut kemungkinan Sultan campur tangan atas urusan pengkebumian Mufti yang terpecat tahun 1997 itu. Kawan sekereta berasa tidak. Tetapi katanya, kalau Harussani, Mufti Perak yang meninggal, Sultan Perak dan Raja Nazrin berupaya mengambil tindakan tertentu.
Sangkaan saya tepat. Sultan Selangor bertindak berana terhadap jenazah seorang ulama yang diketepikan negara yang Al-Marhum Sultan Selangor sebelum ini tidak dapat berbuat apa-apa bagi mempertahankan Mufti yang kontraknya ketika itu baru saja disambung.
Al-Marhum Dato Ishak Baharom dipecat kerana bertegas melaksanakan undang-undang syarak yang dilulus oleh kerajaan Barisan Negeri Selangor, mencegah gadis Islam menyertai ratu cantik dengan mendedahkan aurat.
Beliau mempertahankan tindakannya kerana percaya, orang-orang yang ada kuasa mesti mencegah perbuatan berdosa. Melarang tindakan demikian boleh menggugurkan aqidah.
Selepas dipecat kerajaan BN Selangor mengharamkannya berdakwah di masjid dan surau di negeri itu. Pengharaman itu dihormati oleh negeri-negeri yang diperintah BN. Tiada yang sedar larangan itu ditarik balik tahun 1999 kerana beliau tidak lagi berceramah di masjid dan surau di Selangor.
Anak kelahiran Kanchong Darat, Banting ini mendapat didikan agama dari Madrasah Al-Masriyah Bukit Mertajam di bawah pimpinan Haji Ahmad Fuad Hassan, pengasas PAS. Kemudian ke Darul Ulum India.
Hubungannya dengan Haji Ahmad Fuad amat rapat hingga beliau dikahwinkan keluarga Haji Ahmad Fuad dari Manung, Perak. Anak laki-lakinya dinamakan Ahmad Fuad. Beliau mewarisi banyak dari kitab Haji Ahmad Fuad.
Selepas tidak lagi terikat dengan kerajaan, maka Al-Marhum bebas bergerak dalam PAS. Pernah menjadi Ahli Majlis Syura Ulama, satu badan tertinggi dalam PAS. Dan semasa meninggal adalah ahli Dewan Ulama PAS Pusat.
Beliau mula dilantik menjadi Mufti bulan Ogos, 1985 adalah mufti yang paling berbengaruh dan sangat dihormati oleh semua pihak khususnya rakyat jelata.
Sekalian Raja-Raja, pembesar-pembesar negara dan pegawai tinggi kerajaan juga menghormatinya bukan saja kerana ilmu yang tinggi tetapi juga sikap dan pendapatnya yang tegas.
Bukan mudah bagi seorang Mufti untuk mendapat penghormatan yang demikian, kerana pandangan umum merasakan mufti adalah terikat dengan pengaruh Sultan dan dalam zaman merdeka Perdana Menteri dan Menteri Besar menjadi penasihat utama para Sultan, maka mufti dirasakan lebih kurang sama dengan lain-lain pegawai kerajaan.
Walaupun Dato Ishak terikat dengan peraturan bekerja, tetapi dalam perkara agama Islam beliaulah orang yang paling berotoriti dalam negeri. Maka beliau tidak menyorokkan apa yang dirasakannya benar mengikut Islam.
Justeru itu kerana enakman syariah negeri Selangor memberi kuasa kepadanya untuk menguatkuasakan untuk mencegah maksiat, maka dengan menggunakan peruntukan itu beliau bertindak apa yang sepatutnya terhadap peserta pertandingan cantik yang disertai oleh orang Islam.
Tindakannya tidak disenangi oleh orang-orang yang suka berseronok-seronok. Kerajaan yang ada pun takut dengan tindakan itu kerana ia boleh menghilangkan sokongan orang bukan Melayu kepada kerajaan.
Perdana Menteri ketika itu Dr. Mahathir memang tidak berapa suka dengan setengah pencegahan maksiat lalu memerintahkan kerajaan Selangor tidak meneruskan tindakan yang disokong oleh Mufti itu. Dato Ishak bertegas mempertahankan tindakan itu.
Tetapi yang berkuasa adalah Menteri Besar dan kerajaan, maka tidak banyak yang dapat dibuat oleh Mufti apabila berdepan dengan Perdana Menteri dan UMNO.
Ternyata Dr. Mahathir dan Dato Ishak Baharom tidak dapat disesuaikan lagi, maka tidak banyak yang dapat dibuat oleh kerajaan negeri dan menteri besar melainkan menjaga hati Perdana Menteri. Kuasa Sultan pun tidak berupaya mempertahan Muftinya, maka tiada jalan lain selain dari menamatkan perkhidmatannya.
Ulama terpaksa menyatakan kedudukan hukum. Rakyat mahukan penjelasan kerana media tidak boleh menyiarkan sebarang penjalasan yang bertentangan dengan perasaan Perdana Menteri.
Maka orang minta penjelasan Mufti. Beliau diundang ke banyak masjid dan surau. Perkara itu terangkannya.
UMNO tidak mahu apa-apa yang menyentuh Perdana Menteri disebutkan dalam premis yang dimiliki kerajaan. Maka dilarang masjid menjemputnya.
Tetapi dunia ini terbuka kepadanya. Al-Marhum menerima semua undangan untuk berceramah di seluruh negara. Allah mentakdirkan tahun-tahun akhir dalam riwayatnya adalah bersama jihadnya dalam PAS. Payah cari Mufti sepertinya.

No comments:

Post a Comment