Search This Blog

Friday, January 18, 2008

BA TAWAR TURUN RUNCIT PETROL

PILIHAN raya umum boleh berlaku bila-bila masa. Mungkin ketika rencana ini disiar Parlimen sudah dibubarkan.
Persoalan bagi rakyat, jika BN menang juga maka harga runcit petrol akan naik kerana herga minyak di pasaran dunia naik – mencecah USD 100 setong. Harga runcit itu belum dinaikkan hujung tahun dan sehingga awal tahun ini kerana menunggu pilihan raya. Jika menang lagi BN, selepas mengumum kabinet baru, maka naiklah harga runcit petrol.
Tetapi BA, gabungan PAS, PKR dan lain-lain menawarkan harga runcit itu akan diturunkan kiranya ia yang menang.
Dato Husam Musa, Naib Presiden PAS dan Tan Sri Khalid Ibrahim, Setiausaha Agung PKR, kedua-duanya lulusan ekonomi Universiti Malaya menyangkal borak Datuk Seri Najib kononnya negara akan muflis jika harga runcit yang sudah tinggi itu diturunkan.
Najib tidak memberikan hujah yang kuat bagaimana negara pengeluar minyak boleh muflis sedang harga minyak dunia naik melangit.
Kedua-duanya ekonomis BA itu memberi hujah logik dan akadamik bahawa kenaikan minyak dunia adalah durian runtuh kepada negara pengeluar minyak. Keuntungan dari kenaikan minyak dunia mampu menampung kekurangan pendapatan negara akibat penurunan harga runcit dalam negeri.
Ia bukan sekadar teori tetapi telah dilaksanakan di Arab Saudi. Ia tidak menggila-gila menaikkan harga runcit ketika harga pasaran dunia melambung-lambung.
Bila harga runcit diturunkan tiada pula Saudi bangkraf. Elok saja negara itu. Dan begitulah keadaan negara-negara pengekspot minyak yang pro-rakyat.
Indonesia bangsat dan syarikat minyak negaranya Pertamina jatuh tersepuk bukan kerana ia tidak mengaut untung dari kenaikan eksport minyaknya, tetapi ia difaraid oleh orang-orang yang berkuasa. Tuduhan terhadap Suharto di mahkamah adalah bukti keuntungan minyak itu difaraid.
Najib dan pemimpin-pemimpin BN serta penyokong-penyokongnya sepatutnya bertanya Husam dan Tan Sri Khalid bagaimana boleh minyak itu diturunkan dengan tidak menjejaskan ekonomi dan kewangan negara. Najib tanya pakar-pakar ekonomi Bank Negara dan lain-lain, bolehkah tawaran BA itu dipakai?
Husam dan Khalid Ibrahim bila-bila masa boleh berhujah dengan mereka betapa keuntungan ekport minyak Petronas itu boleh menampung kesan penurun runcit dalam negeri.
Bila harga minyak turun, maka kuranglah beban tambang menambang. Mudahlah dikawal harga barang keluaran tempatan dalam pasaran tempatan. Pendapatan pengguna yang selesa akibat runcit minyak yang murah dapatlah digunakan untuk menampung kenaikan barang-barang inport seperti gandum, susu, daging dan lain-lain.
Kata Khalid yang menyebabkan negara bangkraf bukan fasal turun harga runcit ketika minyak naik dalam pasaran dunia, tetapi kegagalan kerajaan BN mengurus dengan baik.
Kata Husam, yang menyebabkan muflis itu kerana amalan tender tertutup, menggemukkan kroni dan pilih keluarga serta membiarkan rasuah.
Contohnya, komisyen lebih RM 500 juta dari pembelian dua kapalselam Perancis dan kapalterbang pejuang Sukhoi Rusia datang dari duit mana dan kepada siapa duit itu diberi.
Syarikat Perancis dan Rusia rela memberi komisyen yang tinggi kerana mereka sudah mendapat untung dari pembelian alat pertahanan itu. Komisyan itu bukan duit mereka. RM 500 juta adalah baki keuntungan senjata itu. Komisyen itu adalah sebahagian dari bayaran oleh kerajaan Malaysia.
Harga ssenjata itu boleh dikurangkan sebanyak RM 500 juta dan kerajaan Malaysia dapat menyelamatkan duit sebanyak RM 500 juta kalau tiada komisyen. Harga tanpa komisyen itu sudah memberi untung yang banyak. Mungkin boleh ditawar lagi.
Komisyen itu tidak dipulangkan balik kepada kerajaan. Ia dibahagi-bahagikan sesama agen.
Urus niaga macam itu berlaku dalam semua benda dan perkara. Tiada yang percuma.
Dipercayai orang yang mendapat tender membekalkan makan kepada pelatih LPKN yang berpuluh ribu jumlahnya setahun. Mereka tidak dapat tender itu percuma. Satu hari pelatih itu makan tiga kali. Ambil seringgit saja untuk sekali makan. Penyangak dapat tiga ringgit sehari atas seorang. Latihan itu katakan tiga bulan. Banyak mana pengangak dapat dari jumlah pelatih yang puluhan ribu itu?
Ini bukan satu tuduhan. Dalam sebuah negara dan masyarakat yang rasuah, tidak mustahil hal ini berlaku. Pelik kalau ia tidak berlaku.
Benda-benda macam inilah yang menyebabkan negara boleh muflis. Sekadar menurunkan harga runcit minyak dalam suasana harga minyak melambung dalam pasaran dunia, tidak memungkin negara muflis. Hanya orang tidak tahu mentadbir saja yang memungkin ia berlaku.
Di hadapan rakyat sekarang ada pilihan. Ada parti yang menawarkan harga runcit minyak boleh diturunkan. Satu parti lagi menjanjikan harga runcit tidak boleh diturunkan, bahkan boleh dinaikkan bila-bila masa selagi minyak melambung.
Minyak itu adalah rahmat d ari Allah. Menaikkan harga minyai di pasaran dunia itu adalah bala dan dera kepada manusia. Saudi diberi rahmat kerana minyaknya dijual tinggi di pasaran dunia. Rakyatnya dapat rahmat juga kerana mereka dapat harga runcit yang murah. Saudi tidak muflis, bahkan stabil dengan keuntungan minyak walaupun ia tidak dapat banyak dari harga runcit yang murah.
Malaysia diberi rahmat kerana minyaknya dijual tinggi dalam pasaran dunia. Berlipat ganda untungnya. Tetapi kerajaan BN tidak menurunkan harga runcit, sebaliknya menaikkan harga runcit. Rahmat tidak dirasa oleh rakyatnya, sebaliknya ia terus membebankan.
BA datang menawarkan rahmat kepada rakyat seperti yang diberikan oleh kerajaan Saudi. Ada pilihan untuk rakyat, mahukan rahmat Allah atau tidak yakin dengan tawaran rahmat itu.
Satu tawaran mahu meringankan beban rakyat dengan izin Allah. Ia dibuat oleh BA. Jika tawaran itu diperkenan Allah, dengan izin Allah dapat dilaksanakan dan negara tidak muflis, maka rakyat dapat rahmat atas janjinya. Kalau Allah tidak mengizinkan, maka rakyat tidak dapat apa yang ditawarkan. Ia membeli minyak yang mahal seperti sekarang.
Manakala BN tidak bercadang untuk meringankan beban rakyat.Tidak ada janji minyak akan diturunkan, tiada janji minyak tidak akan dinaikkan. Tiada janji beban rakyat dapat dikurang. Berjaya atau tidak berjaya, beban berterusan.
BA ada tawaran. Jika ia berjaya, beban dapat dikurangkan. Jika tidak berjaya, beban dipikul berterusan. Tetapi ia ada tawaran untuk menolong rakyat mengurangkan beban. BN tidak bercadang untuk meringankan beban, tetapi yang pasti kalau minyak dunia terus naik, maka beban tidak akan terhenti.
Rakyat yang bersyukur sentiasa mengharapkan rahmat. Apabila datang tawaran rakyat, maka mereka sedia menyambutnya. Memilih yang mengurangkan beban adalah lebih baik dari mengekalkan diri dengan beban. Orang beriman tidak memilih beban tetapi memilih tawaran yang baik.
Sebaliknya orang yang sombong dan takbur tidak suka kepada tawaran yang boleh meringankan tanggungan. Orang-orang yang sombong ini tidak berhajat kepada rahmat dan megah dengan kesombongannya. Mereka tidak mahu mengungankan beban, tetapi memilih menambah beban. Beban yang ada sudah tidak terpikul, mereka sedia supaya beban yang tidak terpikul itu ditambah. Orang yang suka kepada beban, bukan tanda orang bersykur, tetapi ia adalah tanda kebebalan. Tetapi orang yang bersyukur memilih jalan yang dapat mengurangkan beban. Orang bebal melihat rahmat sebagai keburukan, dan tidak nampak keburukan adalah keburukan. Keburukan baginya indah. Tetapi orang yang bersyukur sentiasa mengharapkan rahmat yang berterusan, dan tetap nampak keburukan adalah keburukan.

No comments:

Post a Comment