Search This Blog

Thursday, March 27, 2008

ADA SOKONG MEMBAWA REBAH

SEKALIPUN BN tidak dapat majoriti dua pertiga di Parlimen, tetapi ia masih mempunyai majoriti yang besar. Sepatutnya tiada apa yang boleh menggugat kuasanya dan ia tetap boleh mewujudkan sebuah pemerintahan yang stabil dengan majoriti yang ada itu.
Tetapi suasana nampak gawat bagi parti pemerintah itu. Dari parti induknya BN hingga kepada anggota parti kerabatnya dari UMNO, MCA, MIC dan lain-lain semuanya bercempera dengan keputusan pilihan raya 8 Mac lalu.
Gerakan punya sebab jika ia sesak nafas. Ia bukan sekadar hilang pengkalan kerana kekalahan kesemua kerusi di Pulau Pinang, ia jadi parti yang sudah habis masa depan dan tiada peluang untuk pulih semula. Anggota-anggotanya terpaksa memikirkan menyertai parti lain seperti MCA.
Begitu juga PPP yang hanya hidup kerana hendak membanyakkan bilangan parti yang bergabung dalam BN. Tetapi ia tiada peranan yang penting.
MIC mungkin boleh dipulihkan jika Subramaniam datang menggantikan Samy Vellu. Tetapi bergantung juga pada keupayaan DAP dan PKR dapat atau tidak memberi ruang politik yang lebih selesa kepada kaum India.
Setakat ini masyarakat India dapat lebih banyak perwakilan dari dua buah parti itu dibandingkan dengan apa yang ia pernah dapati dari MIC. Kaum India tidak pernah dapat wakil rakyat sebanyak sekarang. DAP dan PKR telah memberi peluang kepadanya jadi Timbalan Ketua Menteri dan Timbalan Menteri Besar, sedang ia tidak pernah dimimpikan semasa jadi penyokong setia BN dulu.
Jika peluang ini terjamin, maka harapan memulihkan MIC tidak dapat ditentukan dalam masa yang terdekat.
Manakala harapan MCA pula bergantung pada jaya atau tidaknya muafakat parti pembangkang yang menubuhkan empat kerajaan negeri di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor itu. Kiranya muafakat itu berjaya, MCA akan berada dalam keadaan yang sukar.
Tetapi masih pekat dengan UMNO. Kiranya keadaan yang ada ini dapat dipertahankan, dan Perdana Menteri dapat belajar dari mesej yang diberi pengundi melalui pilihan raya lalu, nescaya tiada sebab ia tidak boleh mewujudkan kerajaan yang stabil.
Kerajaan yang ada sekarang masih disokong oleh majoriti yang besar walaupun ia tidak dapat majoriti dua pertiga. Jika sekalian yang mengaku setia itu benar-benar menyokong Datuk Seri Abdullah Badawi sebagai Perdana Menteri, tiada sebab kerajaan goyang.
Dengan majoriti itu ia boleh buat bermacam-macam kecuali meminda perlembagaan dan membuat undang-undang baru saja. Kerajaan Amerika, kerajaan Jerman, Perancis dan Britain yang berfungnsi sekarang tidak ditegakkan dengan majoriti dua pertiga. Masing-masing ada memiliki majoriti yang sederhana dan kadang-kadang majoriti yang kecil saja.
Masing-masing dapat mewujudkan kerajaan yang kuat. Kekuatan kerajaan barat itu bukan kerana majoriti dua pertiganya, tetapi kerana wujudnya kedaulatan rakyat sebagai bangsa yang berintegriti.
Kerajaan BN yang terbaru ini sebenarnya kuat, tetapi yang menjadi masalah ialah ia tidak punya pimpinan yang kuat. Sama ada masing-masing menyatakan sokongan atau tidak kepada pimpinan, pimpinan yang kuat mampu meyakinkan orang ramai ia boleh memimpin dan mewujudkan kerajaan yang kuat dengan majoriti yang ada itu.
Memadai dengan mandat yang ada itu ketua parti yang berkuasa bertindak cepat menubuhkan kerajaan, menyambung kerajaan yang lalu, meneruskan pemerintahan dan pentadbiran seperti biasa.
Tidak perlu Perdana Menteri mahu menunjukkan sikap apolojetik kerana tidak dapat majoriti dua pertiga, dan tidak perlu dihujani dengan terlalu banyak kenyataan menyokong dan berdiri teguh di belakang Perdana Menteri dari mana-mana pihak.
Sebuah kerajaan yang kuat dan satu pimpinan yang berintegriti, tidak memerlukan banyak pernyataan sokongan dari orang ramai. Memadai satu sokongan dari golongan pucuk pimpinan bersetuju dengan Perdana Menteri menyambung pimpinannya, maka Perdana Menteri boleh mengadap Yang Dipesrtuan Agong untuk menubuhkan kerajaan diikuti dengan pembentukan kerajaan baru.
Maka ambillah masa dua tiga hari untuk mengumumkan nama jemaah menteri yang baru.
Itulah yang sepatutnya dibuat.
Apa yang berlaku Perdana Menteri dilihat seperti seorang yang terkejut dengan ketiadaan majoriti dua pertiga itu, terkejut dengan kegagalan mengambil alih kerajaan Kelantan yang jadi inti perjuangan sejak tahun 2004, dan terkejut dengan kekalahan di empat buah negeri lagi iaitu di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor.
Perdana Menteri menunggu dulu sebanyak-banyak pernyataan sokongan padu tak berbelah bagi dari semua pihak, hingga pasukan silat pun tampil menyatakan sokongan tak berbelah baginya.
Tidak cukup dengan semua lapisan UMNO dari Timbalan Presiden hingga ke ketua-ketua cawangan bangun untuk menyatakan sokongan padu. Penuh muka surat khabar dan TV berita semua orang memberi sokongan kepada Perdana Menteri untuk menjadi Perdana Menteri lagi.
Apa perlunya pernyataan sokongan yang melimpah ruah itu?
Dan bukan mustahil apabila Parlimen bersidang penggal baru ini ada yang membawa usul memberi sokongan kepada Perdana Menteri.
Pernah Dewan Rakyat meluluskan usul seperti itu apabila Tun Hussein Onn mula menggantikan Tun Razak sebagai Perdana Menteri. Biasa Parlimen bersidang membincang untuk tidak percaya terhadap Perdana Menteri. Tetapi Dewan Rakyat pernah bersidang membincangkan undi kepercayaan kepada Perdana Menteri.
Mengapa?
Tidakkah itu mencemininkan adanya gambaran kurang yakin setengah orang terhadap integriti Perdana Menteri itu.
Amat dibimbangi yang mengemukakan undi kepercayaan itu dari gejala yang kurang kepercayaan kepada integritinya dan usul sokongan itu adalah satu gambaran di sebalik sokong membawa rebah.
Perdana Menteri mengambil masa 10 hari untuk membentang kabinet baru. Mengambil masa hampir 10 hari untuk menyerahkan watikah menyetujui Shahidan Kassim untuk menjadi Menteri Besar Perlis semula dan mengambil masa yang sama panjang untuk menamakan Idris Jusoh menjadi Menteri Besar sekali lagi di Terengganu.
Macam-macam timbul dalam masa yang singat tetapi panjang itu. Sempak Ong Ka Ting berfikir tidak mahu kekal dalam kabinet. Sempat orang itu begitu dan orang ini begini.
Dalam suasana itu tiba-tiba sempat Mukhriz menulis surat meminta supaya Perdana Menteri berundur, sempat Tengku Razaleigh menulis surat meminta diadakan perhimpunan agung khas UMNO sebelum Perhimpunan Agung.
Dalam suasana itu mulai ribut Pemuda UMNO hendak memecat Mukhriz. Adakah ia berhenti di situ?
Memang keputusan pilihan raya besar gemanya, tetapi ia boleh tidak menjadi ribut kerana majoriti BN di Parlimen masih besar. Tetapi dalam masa 10 hari ini, seolah raja-raja jadi tempat menyelesai masalaha politik, kerana orang politik lambat bertindak.
Orang politik sibuk dengan menyatakan sokongan yang tak putus-putus kepada Perdana Menteri, hingga sokongan itu seperti satu sokongan membawa rebah. Tidakkah kerajaan sekarang berhadapan dengan satu krisis keyakinan?

No comments:

Post a Comment