Search This Blog

Thursday, March 27, 2008

HAK RAJA MENOLAK

MENGIKUT amalan demokrasi biasa pemimpin sebuah parti politik atau seorang yang disokong oleh sekumpulan orang-orang yang menguasai sebuah majlis perundangan berhak membentuk kerajaan sebaik-baik saja dia mendapat majoriti mudah.
Tidak perlu dia menunggu keputusan semua kerusi yang dipertandingkan. Banyak kejadian sebaik saja keputusan majoriti mudah itu diperolehi, maka ketika itu juga kumpulan itu pergi ke istana untuk mndapatkan persetujuan bagi membentuk kerajaan. Sekali pun lewat malam.
Maka Raja atau ketua negeri bertekan meminta ketua kumpulan itu membentuk kerajaan. Malah ada yang mengangkat sumpah ketika itu juga.
Bagaimana pun raja atau ketua negeri atau Presiden bagi setengah negara berhak menolak permintaan itu atas sebab-sebab tertentu. Tetapi jarang benar berlaku kejadian ketua negeri menolak permohonan ketua majoriti kumpulan yang mendapat sokongan itu.
Ada baik dan ada persoalannya apabila peraturan itu dibuat begitu. Kesemua negeri atau negara membuat peruntukan begitu. Raja atau ketua negeri diberi hak memperkenan atau tidak memperkenankan permintaan membentuk kerajaan.
Malaysia yang sudah 50 tahun merdeka itu juga pernah menerumi pengalaman seperti itu. Dalam tahun 1959 PAS memenangi majoriti cukup dalam pilihan raya di negeri Terengganu. Ketua parti di negeri itu Ahmad Azam. Beliau tidak dapat membentuk kerajaan disebabkan beliau bukan anak jadi Terengganu.
Ahmad Azam orang Perak. Beliau cukup syarat untuk membentuk kerajaan di negeri itu. Tetapi kecenderungan istana mahukan anak jadi Terengganu menjadi ketua kerajaan pilihan pertama negeri itu. Ketika yang sama negeri Perlis tidak berhalangan untuk menerima Shaikh Ahmad menjadi Menteri Besar Perlis walaupun dia lahir di Pulau Pinang.
Atas penolakan ke atas Ahmad Azam itu, maka PAS mengemukakan calon kedua iaitu Daud Abdul Samad. Itu pengalaman pertama.
Pengalaman kedua berlaku di Perak ketika Tan Sri Ghazali Jawi menjadi Menteri Besar. Ia tidak bermula dengan pemilihannya untuk menjadi Menteri Besar. Ada masalah antaranya dengan istana semasa dia menjadi Menteri Besar. Berikutnya dia tidak meneruskan penggalnya hingga tamat. Dia diangkat menjadi Duta Besar ke Mesir dan Perak mendapat Menteri Besar baru.
Beberapa tahun kemudian UMNO menghantar Ghazali Jawi untuk menjadi Menteri Perak semula. Sultan Perak ketika itu Sultan Idris Shah tidak perkenan. Tidak perkanan baginda itu telah disampaikan ke pengetahuan Perdana Menteri Tun Razak.
Raja Azlan Shah, seorang waris takhta kerajaan negeri Perak yang ketika itu adalah seorang pegawai kehakiman kerajaan persekutuan dikatakan pernah menyampaikan pandangan Sultan Perak itu kepada pihak yang berpengaruh dalam politik di Kuala Lumpur.
Pandangan istana itu tidak dihiraukan oleh rumah UMNO. Ketika berkempen di Perak Tun Razak mengadap Sultan Perak. Baginda menyatakan tidak perkenannya atas pengiriman semua Ghazali Jawi untuk menjadi Menteri Besar sekali lagi.
Kerana masa sudah tidak banyak, maka sukar bagi Tun mengubah pilihannya. Beliau merayu Sultan menerimanya untuk sementara. Dan terbukti kemudiannya berlaku suasana tidak sejalan antara pentadbiran di Perak yang berakhir Ghazali Jawi terpaksa berundur juga.
Menjelang pembentukan kerajaan Barisan Nasional menggantikan Perikatan, Dato Asri Muda dilantik oleh Tun Razak menjadi Menteri Tanah dan Wilayah dalam kerajaan pusat. Dato Asri yang mengosongkan jawatan Menteri Besar Kelantan mengemukakan nama Wan Ismail Wan Ibrahim menjadi gantinya sebagai Menteri Besar Kelantan.
Tetapi Sultan Kelantan, Tuanku Yahya Petra perkenan kepada Mohamad Nasir untuk menjadi Menteri Besar yang baru. PAS sebagai parti yang menguasai majoriti ADUN Kelantan tidak menamakan Dato Mohamad Nasir, tetapi Raja tidak perkenan kepada nama yang dikemukakan oleh PAS, sebaliknya baginda ada pilihan lain.
Tiada ada yang dapat dibantah oleh PAS melainkan menerika seorang tokoh PAS lain untuk menjadi Menteri Besar.
Selepas kejadian 13 Mei 1969, Perikatan Perak tidak dapat membentuk kerajaan kerana ia tidak cukup majoriti. Pembangkang yang terbesar hasil pilihan raya itu ialah PPP pimpinan Dato S.P.Seenivasagam yang menguasai 12 kerusi. Jika DAP, Gerakan dan seorang wakil rakyat PAS dapat mengadakan muafakat, pembangkang boleh mencuba membentuk kerajaan minoriti.
PPP mempunyai seorang ADUN Melayu iaitu Samsuddin Harun yang dicadangkan menjadi Menteri Besar kalau ia boleh membentuk kerajaan.
Permintaan Seenivasagam untuk menghadap bagi menubuhkan kerajaan hanya diperkenan kiranya Seenivasagam dapat membawa kesemua ADUN pemgbangkang yang menang di negeri Perak.
Sultan Perak mahu mendapat kepastian setiap ADUN pembangkang itu bersetuju untuk membentuk kerajaan alternatif. Kiranya Seenivasagam tidak dapat membawa penyokong-penyokongnya itu, maka baginda tidak bersedia menerimanya mengadap.
Seenivasagam tidak berjaya mendapatkan sokongan Gerakan dan DAP pada masa itu.
Perikatan akhirnya berjaya mengepung Samsudin pulang ke rumahnya. Setelah dia tidak dapat pulang ke rumah beberapa hari, tiada jalan baginya melainkan menyertai UMNO. Barulah dia dapat balik dan barulah Perikatan dapat majoriti membentuk kerajaan Perak.
Menteri Besar Terengganu Dato Nik Hassan Abdul Rahman pernah menghadapi masalah dengan istana ketika pemerintahan Al-Marhum Sultan Ismail Nasaruddin Shah. Apabila Dewan Undangan Negeri dibubarkan tahun 1974, BN tidak lagi mengekal Dato Nik Hasan bertanding untuk negeri sebaliknya beliau ditarik ke Parlimen.
Jika BN mengekalkan Dato Nik Hassan ssebagai calon MB semula, maka pembentukan kerajaan akan tergendala.
Dato Mohamad Yaakub juga menghadapi masalah dengan istana Kelantan semasa menjadi Menteri. Masalahnya selesai beliau dan sekalin ADUN BN kalah dalam Pilihan raya Umum 1990.
Masalah yang sama juga berlaku di Johor di hujung pemerintahan Tan Sri Othman Saad. Pelesaiannya ialah Tan Sri Othman Saad terpaksa berundur. Demikian juga Pahang berdepan dengan masalah semasa Rahim Bakar menjadi Menteri Besar.
Kelewatan mengangkat sumpah pernah berlaku di Negeri Sembilan do hujung pentadbiran Tan sri Isa Samad tetapi ia tidaklah segempar yang diterjadi di Perlis dan di Terenggau selepas pilihan raya 8 Mac 2008 yang lalu.
Sultan Perak dan Sultan Selangor telah memainkan peranan yang menari menyelesaikan pembentukan kerajaan campuran di kedua negeri itu. Sultan Selangor dan Pemangku Sultan Perak telah bertemu secara berasingan dengan semua parti yang hendak membentuk kerajaan. Nampaknya pendekatan itu berjaya mengatasi semua rentangan.
Keributan berlaku di Perlis dan Terengganu sejak Parlimen dibubarkan lagi. Datuo Seri Shahidan Kassim dan Dato Seri Idris Jusoh bertindak mencantas seiapa saja yang tidak sekata dengannya. Menteri dan timbalan menteri yang tidak menggugat kerusi kedua Menteri Besar ikut dicantas.
Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri tidak dapat banyak menghalang kedua pemimpin UMNO itu dari menjalan kuasa kuku besinya. Semuanya tidak bersuatu bila berhadapan dengan Shahidan dan Idris. Sama seperti orang Iraq berdepan dengan Saddam Hussein.
Ternyata kerakusan mereka itu ikut menyingkung raja-raja di kedua negeri. Sesudah ketua parti dan Perdana Menteri tidak dapat menundukkan Shahidan dan Idris Jusoh, maka raja-raja yang mendengar rintihan rakyat, pegawai-pegawai dan pandangan umum telah menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk tidak memperkenan perlantikan semua Shahidan dan Idris.
Sehingga seminggu Perdana Menteri tidak berjaya meredakan keadaan, maka Raja Perlis bertndak sendiri memperkenan Dr. Isa Sabu menjadi Menteri Besar kerana lapan ADUN mengaku bersetuju dengan Dr. Isa Sabu mengetuai kerajaan.
Ketika rencana ini ditulis, antara ADUN Terengganu sudah berada di Lembah Kelang untuk bertemu penasihat raja dan Perdana Menteri tentang apa yang patut dibuat dengan masa depan kerajaan Terengganu.
Perdana Menteri berjanji untuk menyelesaikan perkara itu. Tetapi adakah Perdana Menteri akan menghormati sikap raja yang telah diketahui umum tidak perkenan kepada kedua-dua pemimpin UMNO Perlis dan Terengganu itu?
Raja-raja sudah menyatakan sikapnya. Bijakkah Perdana Menteri melakukan sesuatu yang b oleh dilihat tidak mendengar kemahuan raja?
Apa jua keputusan Perdana Menteri tidak boleh dilihat tidak bersama raja. Pernah raja-raja dirasakan bersikap berlebihan. Tetapi dalam kes di Perlis dan Terenganu ini dirasakan raja-raja telah berada di pihak yang popular.
Kedua-dua Menteri Besar itu dilihat oleh umum sebagai panglima zaman purbakala ketika rakyat tidak berdaulat dan tidak tahu erti demokrasi dan kebebasan. Agaknya kalau mereka jadi Presiden, lebih kurang saja keadaannya dengan Saddam Hussein.
Perdana Menteri tidak dapat menundudukkan mereka. Hanya raja tempat semua orang mengadu.

No comments:

Post a Comment