Search This Blog

Thursday, March 27, 2008

CALON KE KELANTAN SEJAK TAHUN 1959

DALAM Pilihan Raya Umum yang pertama dalam tahun 1959, sama seperti Plihan Raya Umum sebelumnya tahun 1955, pilihan raya Parlimen tidak dijalankan serentak dengan pilihan raya di negeri-negeri.
Malah pilihan raya negeri-negeri pula tidak serentak. Ia dimulakan di Perlis, kemudian di Kedah dan dari satu negeri ke satu negeri hinggalah yang terakhirnya di Kelantan. Selepas semuanya selesai barulah diadakan pilihan raya Parlimen.
Hasil dari pilihan raya-pilihan raya negeri itu di dapati PAS kalah di semua negeri kecuali Terengganu dan Kelantan.
Keputusan itu menyebabkan PAS membuat strategi meletakkan sebahagian dari pemimpin nasionalnya bertanding di Kelantan dan Terengganu supaya pemimpin-pemimpin pentingnya dapat dihantar ke Parlimen.
Jika tidak dibuat demikian, sukar untuk menempatkan pemimpin-pemimpin penting itu ke Parlimen dan Parlimen penting mempunyai anggota-anggota berkalibar.
Maka keputusan itu dirundingkan dengan PAS di negeri-negeri itu. Kelantan dan Terengganu bersetuju untuk menerima calon dari luar. PAS menghantar empat tokoh bertanding di Kelantan dan tiga di Terengganu.
Mereka yang bertanding di Kelantan ialah Pro. Zulkifli Mohamad, Dato Raja Hanifah, Ustraz Othman Abdullah dan Haji Ahmad Perai. Di Terengganu pula Dr. Burhanuddin al-Hilmi, Ustaz Hasan Adli dan Khadijah Sidik.
Bukan PAS saja yang membuat strategi demikian. Parti Negara kalah di semua negeri kecuali beberapa orang berjaya di Dun Terengganu telah mengadakan perundingan dengan PAS, maka PAS memberi laluan kepada Dato Onn Jaafar bertanding di Terengganu.
Dato Onn sebagai Yang Dipertua Agung Parti Negara kalah di Batu Pahat dalam Pilihan Raya Umum tahun 1955 dan dia juga kalah dalam satu pilihan raya kecil di Johor selepas itu. Dato Onn memenang pilihan raya itu.
Dengan beberapa kerusi yang dimenangi oleh Parti Negara di Terengganu itu belum memungkinkan Dato Onn menang kerana kawasan yang dimenanginya itu tidak setempat. Oleh sebab kawasan-kawasan sekitarnya dimenangi oleh calon PAS, maka dengan laluan yang diberi oleh PAS itu memugkinkan Dato Onn diterima oleh pengundi di Terengganu.
Dato Onn adalah wira dan putera handal dari Johor, tetapi rakyat Johor tidak menilainya ketokohannya. Yang menilainya ialah pengundi-pengundi Terengganu.
Semua calon luar yang dikemukakan oleh PAS di Kelantan dan di Terengganu dalam pilihan raya umum1959 itu telah berjaya memasuki Dewan Rakyat. Penggal pertama Dewan Rakyat selepas merdeka mencatat sejarah mengumpulkan lapan orang pemimpin PAS menjadi anggota Dewan Rakyat. Tujuah daripadanya calon dari luar dan seorang lagi pemimpin nasional dari orang Kelantan sendiri ialah Dato Asri Muda.
Lepas itu belum pernah terdapat seramai itu pemimpin utamanya PAS menjadi anggota Parlimen pada satu penggal.
Dalam Pilihan Raya Umum 1964 hanya Prof. Zulkifli Mohamad saja yang kekal bertanding di Kelantan. Lain-lain kerusi ditandingi oleh calon tempatan sendiri.
Haji Ahmad Perai telah menemui kemalangan jalan raya dan meninggal. Pilihan raya kecil bagi mengisi kerusi yang dikosongkannya digantikan oleh calon tempatan, tidak lagi dari luar Kelantan iaitu Tuan Guru Nik Abdul Aziz.
Ustaz Othman Abdullah menyertai UMNO menjelang pilihan raya 1964. Tidak berbangkit lagi baginya bertanding di Kelantan. Sebaliknya dia menjadi calon Perikatan di Hilir Perak. Menakala Dato Raja Haniafah tidak dapat menumpukan masa di Kelantan, maka beliau tidak lagi menjadi calon di Kelantan.
Manakala di Terengganu, Dr. Burhanuddin al-Hilmi menghadapi kes mahkamah dan beliau hilang kelayakan bertanding. Ustaz Hasan Adli dan Kadijah Sidik juga tidak lagi bertanding di Terenggan.
Bagaimana pun Prof Zulkifli sebagai satu-satunya calon dari luar bertanding di pantai timur tahun 1964 dalam landaan dan gelora isu kontrantasi Indonesia, beliau berjaya mendapat peratus dan majoriti yang tinggi. PAS dalam pilihan raya agak terpukul kerana menentang pembentukan Malaysia. Pendirian itu sama pula dengan sikap Indonesia.
Prof. Zulkifli pula menemui kecelakaan jalan raya sehari selepas memenangi pilihan raya umum 1964 itu. Dalam pilihan raya kecil bagi mengisi kerusi yang dikosongkannya, PAS terus meletakkan calon dari luar iaitu Ustaz Abu Bakar Hamzah. Pengundi tempatan t erus memberi sokongan kepadanya untuk beberapa penggal.
Selepas PAS menyertai kerajaan campuran PAS-Perikatan tahun 1973 dan setahun kemudian ikut membentuk Barisan Nasional bersama Perikatan, maka tidak lagi timbul orang luar bertandingi di Kelantan.
Cuma dalam tahun 1986 ketika PAS dalam keadaan PAS kalah di Kelantan, PAS Kelantan menerika Khalid Samad bertanding di Kuala Kerai. Pilihan raya itu adalah antara sejarah hitam bagi PAS, bukan sekadar penyertaan Khalid Samad tidak membawa kejayaan. Bukan sekadar calon dari luar tidak dibawa ke Kelantan, calon dari Kelantan sendiri kalah, hanya satu kerusi Parlimen saja yang dimenangi oleh PAS di seluruh negara iaitu di Pengkalan Chepa dengan calonnya Nik Abdullah Arshad.
Kalau Kelantan sebagai kubu PAS hanya PAS satu yang menang, maka tidak berbangkit isu pengundi luar ditolak oleh pengundi Kelantan.
Tetapi dalam kebangkitan semula PAS dalam Pilihan Raya Umum 1990, PAS Kelantan membawa dua calon dari luar iaitu Dr. Daeng Sanusi Mariuk dan Haji Muhamad Sabu. Kedua-duanya telah diterima oleh pengundi di Rantau Panjang dan Nilam Puri.
Dalam pilihan raya itu PAS mengadakan muafakat Angkatan Perpaduan Ummah dengan Parti Melayu Semangat 46. Ia bukan sekadar memberikan kemenangan semula kepada PAS di Kelantan, malah Angkatan Perpaduan Ummah memenangi semua kerusi Parlimen dan DUN.
Kedua mereka mengulangi kemenangannya dalam Pilihan raya Umum 1994.
Dalam dua pilihan raya umum selepas itu iaitu tahun 1999, tiada calon luar bertanding ssebagai calon PAS di Kelantan. Tiadanya calon luar itu bukan disebabkan oleh bimbang ia tidak disokong oleh para pengundi tetapi ia adalah disebabkan keputusan PAS sendiri dan perkembangan menggalakkan PAS secara menyeluruh di seluruh negara.
Bagaimana pun dalam Pilihan Raya Umum 2004, PAS membuka semula memberi laluan kepada calon luar. Ketua Pemuda PAS, Salehuddin Ayub dari Johor tentunya sukar untuk memenangai pilihan raya di Johor. Sebagai Ketua Pemuda dan beliau ssendiri mempuyai wibawa untuk diketengahkan.
Maka PAS Kelantan bersetuju memberi laluan kepadanya untuk bertanding di kawasan Kubang Kerian. Kubang Kerian pernah diwakili oleh Muhamad Sabu dan selepas itu disandang oleh Dato Husam Musa.
Ternyata pengundi Kelantan terus memberi sokongan kepada calon luar untuk berhadapan dengan calon Barisan Nasional yang terdiri dari orang Kelantan sendiri dan antaranya orang tempatan
Tetapi dalam Pilihan Raya Umum ke 12 PAS Kelantan menambah calon dari luar dari seorang kepada tiga. Selain Salehuddin Ayub yang mempertahankan kerusinya di Kubang Kerian, PAS membawa masuk Ustaz Nasaruddin Mat Isa, Timbalan Presidennya menentang calon Menteri Besar Barisan Nasional, Dr Awang Adek Hussein bertanding di Bachok.
Seorang lagi ialah Dr. Hatta Ramli di Kuala Kerai.
Dalam tahun 2004 Bachok dan Kuala Kerai telah jatuh ke tangan BN. Bachok adalah kubu kuat PAS yang tidak pernah dapat dirampas oleh UMNO kecuali dalam tahun 1986 apabila bekas wakil rakyat PAS beberapa penggal sebelum itu, Zain Abdullah telah menjadi calon BN menewaskan calon PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz.
Tetapi s elepas itu Bachok jatuh semula ke tangan PAS. Tetapi dalam tahun 2004 calon PAS ditewaskan oleh BN dengan calonnya Dr. Awag Adek. Dr. Awang Adek dilihat sebagai tokoh baru menggantikan Dato Annuar Musa dan Dato Mustapa Mohamad, maka dia dicalonkan bagi menjadi Menteri Besar. Ketika yang sama dia juga bertanding untuk kerusi Parlimen.
Ustaz Nasaruddin dibawa untuk mencabar calon MB dan orang tempatan pula.
Kuala Kerai yang dikuasai oleh PAS sejak tahun 1990 jatuh ke tangan BN tahun 2004. Di kawasan ini diserahkan kepada Dr. Hatta untuk merampas semula kawasan itu dari BN.
Semua calon PAS dari luar telah membuktikan bahawa mereka diterima oleh pengundi Kelantan walaupun mereka berdepan dengan calon Barisan Nasional yang teridir dari orang tempatan.
Bukan isu calon dari luar Kelantan itu tidak dibangkit oleh BN dari kempen pilihan raya itu tetapi pengundi Kelantan telah berjaya melepasi kefahaman daerah dan kenegerian.
Orang Kelantan terkenal tebal perasaan keKelantannannya. Di mana mereka berada, mereka berkumpul sebagai satu komuniti sesama mereka. Tetapi dalam kefahaman politik Islam, pengundi Kelantan mengutamakan perjuangan Islam, menerima calon luar dan menolak calon lawan walaupun dia adalah orang temptan dan di kalangan keluarga terdekat.

2 comments:

  1. Salam..mungkin dahulu buleh kita kata org Kelantan undi calon luar utk ISLAM..tp sekarang ni dh ramai calon berkaliber anak tempatan Negeri Cik Siti Wan Kembang..kenapa nak dipinggirkan???ISLAM menjadi ALASAN utk memberi makan sekerap pimpinan..

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum.

    Saya Hairudin b. Tajudin. Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris. (SITC/MPSI/IPSI)Jurusan Sejarah. kini dalam proses membuat latihan ilmiah berkaitan dengan Dato Hj Hasan Adli dalam perjuangannya dan pendidikan. Saya amat berharap Encik/Tuan/Dato/Datuk??????. dapat membantu dan memjadi orang sumber bagi latihan ilmiah saya.

    ReplyDelete